March 12, 2009

The Malay

TEKS titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di majlis pelancaran buku The Malays di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 10 Mac 2009.

Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat ke majlis pelancaran buku The Malays hasil kajian Profesor Anthony Milner, Profesor of Asian History, Australian National University.

Majlis pagi ini memaparkan lima elemen yang amat signifikan.

Pertama: The Malays’ dihasilkan dalam bahasa Inggeris oleh seorang ahli akademik Australia, pelancarannya dilangsungkan dalam bahasa yang memberikan penghormatan kepada bahasa Melayu, bahasa yang termaktub dalam Perlembagaan negara sebagai bahasa kebangsaan.

Perjuangan menobatkan bahasa Melayu telah melalui perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama. Raja-Raja Melayu dalam mesyuarat Durbar pada 1903 di Kuala Lumpur telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Usaha menobatkan bahasa Melayu mencapai kemuncak apabila bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya menjadi bahasa ilmu di pusat-pusat pengajian tinggi dan menjadi lengkap apabila terlaksana penggunaannya di kamar mahkamah di negara ini.

Dalam ucapan di Malam Teguh Bahasa pada 11 September 2005, Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengingatkan, daripada 6,000 bahasa yang dipertuturkan, hanya 300 sahaja yang dituturkan oleh lebih sejuta orang, 5,700 bahasa dituturkan oleh kurang daripada sejuta orang. Dijangkakan separuh dari 5,700 bahasa ini akan pupus dalam tempoh seabad lagi kerana tidak dipertuturkan dan tidak diajar kepada golongan muda.

Sejarah menunjukkan, untuk sesuatu bahasa itu pupus, ia mengambil masa antara 50 ke 100 tahun, tetapi dengan keganasan gelombang globalisasi, kadar kebinasaan bahasa boleh berlaku dalam tempoh satu generasi sahaja. Bahawa globalisasi boleh mempercepatkan kepupusan bahasa, jika langkah-langkah bijak lagi tegas tidak dilakukan untuk memastikan bahasa milik bangsa Melayu ini tidak akan berakhir dengan nasib yang menimpa bahasa Latin.

Kedua: Majlis pelancaran ini dilangsungkan di Universiti Kebangsaan Malaysia; sebuah universiti yang dilahirkan sebagai puncak manifestasi perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan merupakan universiti pertama yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian ilmu di peringkat pengajian tinggi, sekali gus membuktikan keupayaan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perantaraan ilmu.

Universiti Kebangsaan adalah manifestasi kesungguhan negara bangsa melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan dan melaluinya, telah membantu meningkatkan tahap pencapaian ilmu di kalangan rakyat jelata, berupaya menjadi cerdik pandai di samping mengembangkan daya intelek di kalangan warga.

Ketiga: Walaupun bilangan orang Melayu di Malaysia hanya dalam lingkungan 15 juta orang, kurang dari 0.5 peratus daripada jumlah 350 juta orang yang tergolong dalam rumpun Melayu, namun Profesor Anthony Milner telah memberikan pengiktirafan kepada bumi Melayu di negara yang bernama Malaysia ini untuk dilangsungkan pelancaran The Malays. Halaman 151, The Malays, mencatatkan:

Although Malaya (and its expanded form Malaysia) has in many ways been the ‘Malay’ success story — an experiment in nation building founded (at least in large part) on ‘Malay’ ethnic sentiment — this outcome was not inevitable.” Anthony Milner, The Malays, muka surat 151.

Milner turut merakamkan antara peristiwa yang memperlihatkan keyakinan rumpun Melayu terhadap kepimpinan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) seperti yang terkandung di halaman 168.

“Some 250,000 people signed a petition to the United Nations with the aim of incorporating Pattani and other southern Muslim provinces (Yala, Nrathiwat and Satun) in the emerging Malaya.” Anthony Milner, The Malays, muka surat 168.

Huraian dan analisis Milner dalam penerbitan beliau sebahagian besarnya ditumpukan kepada Malaysia, serta dinamik politik yang berlaku di Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang komposisi warganya terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik dan budaya tetapi termaktub di dalam Perlembagaan negara status agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu serta keistimewaan dan perlindungan kepada bangsa Melayu.

Keempat: Pengiktirafan yang diberikan oleh Profesor Anthony Milner kepada Kesultanan Melayu apabila beliau merafakkan sembah jemputan kepada beta untuk berangkat bagi melafazkan titah menyempurnakan pelancaran The Malays’. Beta mentafsirkan, pengiktirafan tersebut adalah pengiktirafan beliau, bukan atas batang tubuh peribadi beta, tetapi pengiktirafan yang didedikasikan kepada institusi Kesultanan Melayu. Ini adalah selaras dengan kupasan-kupasan kajian beliau akan peranan penting Raja-Raja dan Kerajaan di kalangan rumpun Melayu. Di halaman 233, Anthony Milner mencatatkan:

“The Sultan could be presented as ‘cement’ helping to bond the bangsa, or as the ’symbol’ of the Malay race.” Anthony Milner, The Malays, muka surat 233.

Di halaman 177, Anthony Milner turut memetik tulisan Wan Syaifuddin pada tahun 2003, berjudul Kronik Mahkota Kesultanan Serdang terbitan Yandira Agung, Medan.

“One prominent development in post-Suharto Indonesia has been a widespread revival of sultanates, including many described as ‘Malay’. Among these are Landak, Mempawah, Puntianak and Sambas (West Kalimantan); Bulungan, Kutei, and Pasir (East Kalimantan); and Serdang (north Sumatra). There is even a new interest in the Pagaruyung monarchy…. The Sultan of Mempaweh in Kalimantan is reported to have declared that in times of uncertainty, ‘Dayaks’ run to the long house but ‘Malays’ run to the palace;…. Anthony Milner, The Malays, muka surat 177.

Milner turut memetik manuskrip tulisan Gerry van Klinken, bertajuk Return of the Sultans: The Communitarian Turn in Local Politics.

“The Sultans have formed a ‘Communication Forum for the Kratons (royal palaces) of Indonesia…” Anthony Milner, The Malays, muka surat 177.

Beta menghargai pendirian Profesor Anthony Milner mengiktiraf bahawa Raja Melayu itu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu. Sesungguhnya sejarah mencatatkan Istana Raja Melayu itu berperanan sebagai pusat berkembangnya tamadun bangsa. Istana memperlihatkan sehalus budaya – mencerminkan secantik bahasa, melindungi khazanah tamadun bangsa – menyimpan kekayaan budaya bangsa.

Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan negara – simbol kekuatan warga – payung mahkota negara tempat rakyat tumpang berteduh. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Raja itu adalah lambang Kerajaan. Rakyat yang memahami ‘budaya rakyat beraja – negeri bersultan’ memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, melindungi kepentingan bangsa Melayu.

Dalam puisi Korban Hang Tuah penyair Zurinah Hassan cuba menyelami gelombang serba salah yang menghempas dada Hang Tuah ketika terpaksa membuat perhitungan untuk memilih antara kesetiaan kepada sahabat dan kesetiaan kepada Raja. Hang Tuah akhirnya terpaksa memilih, mengorbankan sahabat kesayangannya walaupun dituduh melakukan kesetiaan melulu. Zurinah menghuraikan Hang Tuah sebenarnya tidak sekadar membunuh Hang Jebat tetapi menentang satu penderhakaan – menentang perebutan kuasa. Bagi Zurinah, Hang Tuah bukan bukan sekadar mempertahankan seorang Raja tetapi mempertahankan lambang negara kepada sebuah kerajaan demi memastikan bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia. Tanpa kerajaan apalah ertinya lagi sebuah negara.

Milner mencatat, kerajaan-kerajaan berpaksikan Melayu itu adalah kerajaan yang mempunyai raja baik di Riau, Lingga, Deli, Siak, Langkat, Kampar dan Inderagiri di Sumatera begitu juga di negeri-negeri Kutei, Bulangan, Puntianak, Landak, Mempawah dan Sambas di Kalimantan. Di Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu diiktiraf bukan sahaja menjadi asas berkerajaan malah terlibat langsung dalam gerakan menentang Malayan Union. Demikian juga berperanan penting dalam usaha memperjuangkan dan mencapai kata sepakat menuntut kemerdekaan. Kesembilan Raja Melayu memberikan perkenan untuk ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan turut berkenan untuk dilantik salah seorang daripada baginda-baginda itu menjadi Ketua Negara secara bergilir-gilir dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

Kelima: Karya Anthony Milner menimbulkan semula catatan-catatan sejarah tentang bangsa Melayu di samping mengemukakan penemuan-penemuan baru. Profesor Milner dalam tahun 1982 telah menghasilkan penerbitan berjudul “Kerajaan: Malay Political Culture On The Eve of Colonial Rule” dan pada tahun 1995 menghasilkan penerbitan berjudul “The Invention of Politics in Colonial Malaya”. Bibliografi yang disenaraikan oleh Milner memperlihatkan senarai panjang, kumpulan penyelidik, pengkaji dan penulis tentang bangsa Melayu.

Beta percaya terdapat banyak lagi bahan penyelidikan dan penulisan tentang bangsa Melayu yang telah, sedang dan akan terus dilakukan. Minat di kalangan bukan Melayu melakukan penyelidikan terhadap bangsa Melayu memperlihatkan bahawa Melayu itu adalah satu bangsa yang sentiasa mendapat perhatian dari pelbagai pihak.

Definisi “Melayu” itu tidak terhenti daripada terus menjadi bahan diskusi dan subjek kajian. Definisi bangsa Melayu itu tidak terbatas kepada satu definisi sahaja. Tergabung dalam rumpun Melayu itu himpunan kekayaan pelbagai suku keturunan yang juga menguasai pelbagai dialek dan pelbagai subbudaya.

Alam Melayu itu merentasi kawasan geografi yang luas dari Filipina ke Madagascar, dengan saiz komuniti berjumlah 350 juta. Melalui perdagangan dan penghijrahan, rumpun Melayu itu turut merentasi kawasan geografi yang luas, mengembara jauh di luar gugusan kepulauan Melayu.

Terdapat pelbagai deskripsi menggambarkan watak Melayu. Melayu digambarkan bangsa yang bertoleransi, penuh beradat – sangat bersopan, juga digambarkan suka melatah, mudah mengamuk. Dalam hikayathikayat lama dan cerita-cerita rakyat, terkandung pula sifat-sifat dendam, khianat, dengki, menipu, zalim, bodoh dan malas yang diimbangkan pula dengan sifat-sifat mulia, adil, ikhlas, jujur, cerdik, rajin, tekun, taat dan setia.

Jika demikian pelbagai deskripsi tentang bangsa Melayu ini, rumusan yang dapat disimpulkan ialah bangsa Melayu itu adalah insan yang bernama dan bersifat manusia, kerana sifat dan karakter manusia yang pelbagai itu, terdapat di kalangan semua bangsa dan tamadun lain, baik di Barat mahupun di Timur.

Gugusan kepulauan Melayu itu berada di antara dunia barat dan dunia timur, demikian juga antara Asia barat dan Asia Timur. Ia merupakan gugusan yang amat terdedah kepada dunia. Pelbagai agama, budaya dan bahasa sampai ke gugusan kepulauan Melayu, lalu berlaku proses integrasi dan asimilasi pengaruh daripada pelbagai agama, budaya dan bahasa. Bahasa Sanskrit dan Arab sebagai contoh telah mempengaruhi pemikiran dan tahap literasi bangsa.

Perkataan daripada bahasa-bahasa Parsi, Mandarin, Tamil dan Portugis, turut terdapat dalam perbendaharaan kata Melayu. Pengaruh bahasa Inggeris begitu dominan, susulan daripada pengembangan sistem pendidikan serta kemajuan sains dan teknologi.

Ini telah mempengaruhi Bahasa Melayu itu berubah secara dinamik dengan perbendaharaan kata yang semakin bertambah. Bahasa Melayu telah melalui proses transformasi, berasal dengan bahasa lisan, diperkaya dan diperkembangkan melalui adaptasi penulisan, bermula dengan tulisan jawi, disusuli dengan tulisan rumi. Perkembangan bahasa Melayu itu telah berperanan penting dalam meningkatkan daya intelek dan daya analisis bangsa.

Demikian juga proses penyerapan, pengubahsuaian, percantuman yang berlaku dalam budaya Melayu. Nyatalah Melayu sebagai satu rumpun bangsa, sebagai satu budaya kehidupan, tidak statik. Rumpun Melayu itu berupaya melakukan adaptasi kepada dinamik yang berlaku di persekitaran kehidupannya dan berupaya melakukan perkasaan sosial dan penyesuaian ideologi. Namun bangsa itu juga secara bijaksana berupaya mempertahankan identiti asas bangsanya, secara bijaksana berupaya mengimbangkan antara yang lama dengan yang baru, antara tradisi dan modenisasi, antara lokal dan global. Bangsa Melayu yang memiliki jati diri yang tinggi telah berjaya melakukan perubahan tanpa melupakan tradisi dan nilai kesinambungan.

The Malays memetik dan mengulas kata-kata hikmat pesanan Hang Tuah, “Tak kan Melayu Hilang Di Dunia”. Kemudian mencatatkan peringatan Munsyi Abdullah bahawa survival bangsa sebenarnya bergantung pada pelajaran, dan merakamkan kebimbangan Ishak Haji Mohamad bahawa “Melayu itu boleh hilang di dunia”.

Berlaku pertentangan ungkapan antara pahlawan Melayu bernama Hang Tuah dan nasionalis Melayu bernama Ishak Haji Mohamad, di tengah-tengah peringatan seorang Munsyi bernama Abdullah.

Sewaktu menyampaikan titah di International Conference on Malay Civilization pada 30 September 2002, beta pernah memajukan persoalan menyentuh perkembangan antara tuntutan tradisi (claims of tradition) dan permintaan terhadap kemodenan (demands of modernity) dalam masyarakat pada hari ini. Dikatakan bahawa budaya yang progresif menekankan kepada masa depan sementara budaya yang statik menekankan sejarah lama dan suasana semasa.

Peringatan beta, jangan bangsa sampai ke peringkat keterlaluan. Bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan dilaksanakan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan bangsa. Bahawa elemen-elemen yang berperanan sebagai faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan.

Dalam konteks bangsa Melayu di Malaysia, elemen-elemen tersebut terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya yang berada di bawah payung naungan dan perlindungan Raja-Raja Melayu mengikut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dimaktubkan di dalam Perlembagaan Negara.

Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Itulah resipi kekuatan Melayu di bumi ini. Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut.

Survival Melayu sebagai satu bangsa bergantung kepada beberapa faktor yang telah selama hari ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya, termasuk budaya bernegara dan berkerajaan berpegang kepada prinsip rakyat beraja – negeri bersultan.

Betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan-tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu. Betapa terancamnya survival bangsa apabila tradisi dan institusi sudah tidak lagi dihormati dan disifatkan sebagai antitesis kepada pemikiran rasional, modeniti dan sains. Betapa malangnya apabila generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan ‘tradisi’ sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik.

Bahawa tidak ada tamadun agung yang dapat dibina tanpa menghargai, mengiktiraf dan meneruskan kesinambungan tamadun dengan sejarah masa lalu – merangkaikan antara satu generasi dengan generasi yang lain, mengkhazanahkan himpunan pengalaman dan pengetahuan bangsa untuk dijadikan “memori sosial” bangsa lalu dijadikan asas utama dalam membina identiti sebuah negara bangsa.

Setiap negara bangsa memerlukan minda sejarah dan penghargaan terhadap sejarah yang telah membina tamadun bangsa dan memberikan identiti kepada bangsa. Negara China sebagai contoh telah melalui proses evolusi dan juga revolusi budaya yang hebat, dari sebuah negara Maharaja menjadi negara komunis. Tetapi memori sosial dan memori budaya bangsa China tidak terpadam. Acara pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008, memperlihatkan bukti kebanggaan satu bangsa terhadap sejarah dan tamadun zaman silamnya.

Dalam mengharungi gelombang globalisasi dan dalam menghadapi dinamik politik yang sedang berlaku di negara ini, bangsa Melayu berada di persimpangan jalan – bangsa Melayu menghadapi dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, bangsa Melayu itu akan terus survive, berkembang dan kuat, serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global, atau kemungkinan kedua, barang dijauhkan AIlah daripada berlaku, bahawa bangsa Melayu itu akan hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut.

Pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin disisihkan. Akhirnya Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama.

Ketika itu tidak akan ada lagi minat untuk dilakukan kajian sosiopolitik dan sosioekonomi bangsa Melayu secara dinamik. Kalau masih ada yang berminat mengkaji bangsa Melayu, ia mungkin terbatas kepada sejarah kejatuhan bangsa ini ataupun lebih tertumpu kepada aspek antropologi dan arkeologi bangsa Melayu yang hanya tinggal dalam sejarah. Untuk itu perlulah bangsa mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kaduk, memiliki ayam sabung yang hebat, lalu dipermainkan oleh pihak lawan; akhirnya Pak Kaduk menyerahkan ayam sabungnya kepada lawan; Pak Kaduk sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah digadai.

Beta menzahirkan ucap tahniah kepada Profesor Anthony Milner atas daya usaha melakukan kajian mendalam dan komprehensif. Penemuan dan kupasan beliau pastinya akan menjemput pelbagai ulasan dan diskusi untuk mencambahkan perkembangan ilmu dan perkembangan intelek. Usaha-usaha beliau sewajarnya diberikan penghargaan oleh bangsa Melayu, paling minimumnya menjadikan The Malays sebagai teks yang wajib dirujuk oleh para pelajar sosiopolitik Melayu.

Dengan kebesaran dan semoga mendapat keberkatan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, beta dengan sukacitanya merasmikan pelancaran buku The Malays

December 22, 2008

Cia Sarat Dengan Kepincangan

 

 

Adam Malik ialah agen perisik yang dilatih oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA). Inilah bahagian paling menarik buku Legacy of Ashes: The Histrory of CIA tulisan wartawan The New York Times, Tim Weiner. “I recruited and ran Adam Malik. He was the highest ranking Indonesian we ever recruited”. Demikian pengakuan Clyde McAvoy pada halaman 299 buku ini.

McAvoy ialah agen CIA yang sedekad sebelum itu bekerja merekrut dan melatih bakal Perdana Menteri Jepun yang bakal tunduk pada Amerika. Beliau kemudian ke Indonesia selepas mendapat arahan bagi menyelinap ke dalam Parti Komunis Indonesia (PKI) dan kerajaan di bawah pemerintahan Sukarno. PKI dibimbangi oleh Amerika yang melihatnya sebagai organisasi komunis terbesar di luar Soviet dan China dengan kekuatan 3.5 juta ahli. Dengan kekuatan itu, kedudukan Amerika di rantau Asia Tenggara akan tergugat jika tidak dibendung.

Adam Malik beberapa kali mengadakan mesyuarat di rumah McAvoy di Jakarta pada 1964. Beberapa minggu kemudian, Indonesia terpecah dua. CIA berusaha menaikkan kerajaan bayangannya yang terdiri daripada Adam Malik, Sultan Hamengkubuwono yang masih memerintah di Jawa Tengah, dan Major Jeneral Suharto.

Adam Malik kemudian mengadakan beberapa mesyuarat dengan duta baru Amerika di Indonesia, Marshall Green. Duta Amerika ini mengaku dalam buku ini bahawa beliau dapat membaca dengan jelas apa yang ada dalam otak Adam Malik dan Suharto. Beliau juga bersetuju dengan cara kedua-dua mereka menyusun strategi bagi melenyapkan pengaruh komunis dalam pentadbiran Indonesia melalui Kap-Gestapu. Dengan jalan ini, Amerika dapat membayangi pentadbiran Indonesia untuk masa depan.

Pada pertengahan Oktober 1965, Adam Malik menghantar seorang pembantunya ke rumah pegawai kanan politik di Kedutaan Indonesia, Bob Martens yang pernah bertugas di Moscow sewaktu Adam Malik menjadi duta Indonesia di sana. Martens menyerahkan senarai 67 pemimpin PKI yang mesti dihapuskan. Walaupun tidak ada arahan jelas bagi pembunuhan namun, penghapusan mereka amat penting kepada usaha memantapkan pengaruh Amerika dalam pentadbiran Indonesia.

Tidak lama kemudian berlaku keganasan di Indonesia seperti yang dirancangkan. Apabila Suharto diangkat menjadi Presiden, semakin besarlah peranan Amerika dalam pentadbiran Indonesia. Semakin teguh pula kedudukan Adam Malik. Adam Malik diangkat oleh Suharto menjadi Menteri Luar dan semakin besarlah peranan Amerika dalam mencorakkan politik dan pentadbiran Indonesia. Apabila tidak lagi berada dalam kabinet, Adam Malik dengan sokongan dan lobi Amerika menjadi duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pendedahan Tim Weiner tentang penglibatan dan peranan Adam Malik sebagai orang CIA dalam pentadbiran Indonesia tidak akan mengubah apa-apa. Tetapi, bagi generasi muda Indonesia yang tidak melihat sejarah bangsa Indonesia yang besar di Asia Tenggara itu, tanggapan mereka terhadap Pahlawan Nasional itu tentulah berbeza. Mana mungkin agen Amerika dapat diterima sebagai Pahlawan Nasional Indonesia?

Menembusi

Buku ini banyak juga mendedahkan kegagalan pelbagai usaha yang dirancang oleh CIA. Penulis antara lain mendedahkan kelemahan CIA dalam usaha badan perisikan itu menggerakkan perisiknya menembusi kekebalan sistem pentadbiran Komunis China. Dalam masa yang sama perisikan CIA gagal meramalkan berlakunya revolusi Iran pada 1979.

Laksamana Stansfield Turner, bekas pengarah CIA mengaku akan kelemahan kakitangannya yang lebih banyak menghabiskan masa ‘tertidur’ sehingga gagal mencium banyak peristiwa besar dalam sejarah. CIA gagal meramalkan ledakan bom atom oleh Soviet Union pada 1949, penaklukan Korea Utara pada 1950, kebangkitan Eropah Timur pada 1950-an, pemasangan peluru berpandu Soviet di Cuba pada 1962, Perang Arab-Israel 1973, penaklukan Soviet di Afghanistan pada 1979, runtuhnya Kesatuan Soviet pada 1989, penaklukan Iraq ke atas Kuwait pada 1990, ledakan bom atom oleh India pada 1998 serta beberapa peristiwa besar lain dalam sejarah dunia moden. Kelemahan paling besar ialah maklumat CIA tentang kewujudan senjata pemusnah besar-besaran dalam simpanan Iraq pada 2002.

Pendedahan Tim Weiner tentang pergerakan CIA menarik dan mendalam, bermula dengan penghantaran ramainya agen CIA di negara tabir besi. Banyak wang dibelanjakan. Agen CIA pergi ke negara seluruh dunia dan berbuat apa saja yang mereka ingin lakukan, kata al-Ulmer, ketua CIA Timur Jauh pada tahun 1950-an. Ada ketikanya, kejayaan yang diharapkan bertukar menjadi malapetaka.

Pada 1963, CIA menyokong rampasan kuasa bagi menaikkan Parti Baath di Iraq. Hal ini disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Parti Baah, Ali Saleh Saadi. Salah seorang pemuda gagah berani dan melakukan pembunuhan dalam operasi tersebut bernama Saddam Hussein.

Weiner memetik Donald Gregg, mantan Ketua CIA di Korea Selatan yang kemudiannya menjadi penasihat keselamatan George H.W. Bush yang berkata “Rekod CIA di Eropah buruk, Rekod di Asia juga buruk. Agensi ini mempunyai rekod yang terlalu buruk pada peringkat awal – reputasi yang baik dengan rekod yang amat buruk”.

Weiner, juga pernah menjadi wartawan The Times dan berpengalaman bertahun- tahun membuat liputan tentang perisikan. Weiner sedar bahawa mereka yang berada pada kedudukan tinggi selalu lambat mengetahui perkembangan terkini. Semasa Iraq merempuh masuk sempadan Kuwait pada Ogos 1990, Robert M. Gates, penasihat perisikan Presiden Bush yang kemudian menjadi Setiausaha Pertahanan sedang berkelah bersama keluarga.

Weiner bukanlah wartawan pertama melihat kegagalan CIA. Antara lain kepincangan dalam CIA pernah didedahkan dalam buku Thomas Powers berjudul The Man Who Kept the Secrets dan satu lagi tulisan oleh Evan Thomas, editor majalah Newsweek, berjudul The Very Best Men: The Daring Early Years of the CIA. Memang, dengan kebobrokan CIA, sukar sekali kita memisahkan antara maklumat yang benar dan palsu mengenai CIA termasuklah tentang penglibatan Adam Malik. Hanya pengkaji sejarah akan menentukan warna sebenar pemimpin bangsa kita.

December 15, 2008

Maju mundur buku 2008

TINGGAL cuma beberapa hari sebelum tirai tahun 2008 dilabuhkan. Beberapa kegiatan perbukuan telah mengisi ruang tahun ini. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung selama 10 hari pada 4 April hingga 13 April. PBAKL 2008 diadakan hasil pemuafakatan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Persatuan Penerbit buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM) dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MPIM).

Sempena PBAKL, telah berlangsung juga Persidangan Antarabangsa Industri Buku (ICoBI) pada 4-5 April 2008. IcoBI diadakan dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Persidangan ini memberi peluang penggiat industri buku termasuk pencetak, penerbit, pengedar, pembekal berkumpul bagi bertukar tukar pengalaman.

Seperti biasa, persidangan datang dan pergi tanpa memberi sebarang kesan kepada industri buku sungguhpun diuar-uarkan dengan lunaknya IcoBI 2008 bertujuan mengenal pasti mekanisme baru bagi menyemarakkan iklim penerbitan dalam semua bidang. Segmen penerbitan genre negara dan global, merumuskan pelan tindakan bagi memperkasakan industri penerbitan dan perbukuan ASEAN dan mempercepatkan pembangunan industri penerbitan buku negara dalam rangka memperkasakan modal insan.

Pengarang, editor, penerbit, pereka bentuk buku dan pihak lain dalam industri buku ternanti-nanti Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008 oleh MBKM. Proses penilaian dan penghakiman oleh panel hakim sudah selesai kira-kira sebulan sebelum PBAKL 2008. Pemenang setiap kategori sudah diputuskan oleh panel hakim yang dilantik oleh menteri berkenaan. Namun demikian bukan sahaja anugerah tersebut tidak disampaikan semasa PBKL berlangsung seperti kelazimannya, bahkan sampai ke hari ini tidak ada khabar berita. Perkembangan ini sedikit sebanyak merosakkan reputasi MBKM sebagai sebuah institusi yang diberi tanggungjawab menggalak dan memajukan kegiatan perbukuan negara.

Sudah sekian lama penggiat industri buku di negara ini kecewa dengan kemerosotan dalam kepimpinan dan pengurusan MBKM yang suatu waktu dulu diterajui oleh mereka yang dianggap tokoh dalam perbukuan. Pada hari ini kementerian meletakkan pegawai yang bukan sahaja tidak dikenali oleh industri perbukuan tetapi tidak memperlihatkan iltizam yang tinggi dalam memajukan perbukuan negara. Salah satu buktinya ialah kegagalan penganjuran Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008 oleh MBKM.

Kepimpinan yang lemah dalam MBKM akan sedikit sebanyak boleh merebak kepada industri buku yang patut dimajukan oleh majlis tersebut. Barangkali ada benarnya seperti kata Mat Zin Mat Kib, pensyarah UiTM Cawangan Kota Kinabalu, “Tahun ini banyak buku tapi kebanyakannya tidak berkualiti”. Mat Zin, memimpin penerbitan buku di UiTM Kota Kinabalu dikenali sebagai seorang penggemar buku, penulis buku dan makalah ilmiah. Beliau sering menerima anugerah peringkat UiTM terutama dalam penulisan. Kualiti buku yang beliau maksudkan tentu sahaja yang berkait dengan buku ilmiah dalam kalangan penerbit buku di universiti. Dengan dasar penggunaan bahasa yang tidak menentu di peringkat sekolah dan universiti tentulah akan memberi kesan terhadap masa depan penerbitan buku ilmiah di negara ini.

Gabungan

Baletham Kalimuthu, bekas guru bahasa, penterjemah, penulis dan editor melihat perkembangan buku di negara ini pada 2008 dalam tiga perkara. Pertama menurut Balaetham kemunculan PTS sebagai penerbit buku yang besar dan aktif yang sukar dinafikan.

Kedua, Balaetham melihat kerancakan penerbitan buku dalam bahasa Inggeris dan dalam masa yang sama menurut Balaetham, harapan melihat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggal harapan. Pendapat beliau sejajar dengan apa yang dibimbangi Mat Zin namun demikian kita berharap Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dapat memainkan peranannya dalam memperjelas hala tuju penerbitan ilmiah di Malaysia.

Banyak sekali judul buku baru diterbitkan dan dilancarkan sepanjang 2008. Salah satu buku yang dapat dianggap besar pada tahun ini ialah buku Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008 yang dilancarkan pada 13 Oktober. Pelancaran buku tersebut adalah sempena Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu yang dirayakan pada tahun ini. Terbitan terbitan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu hasil tulisan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dan Dr. Anwar Omar Din.

Pelancaran

Buku telah juga menjadi salah satu agenda penting pemimpin negara. Pada 13 Februari, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melancarkan buku Liku-Liku Meniti Kejayaan. Timbalan Perdana Menteri juga pada tahun ini melancarkan sebuah autobiografi berjudul Ibrahim Pahlawan Melayu karya Tun Ibrahim Ismail yang juga mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia. Baru-baru ini pula pada Najib melancarkan sebuah lagi biografi berjudul Taib Andak: In A Class of His.

Pelancaran buku Falsafah Sains dari Perspektif Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang disusun oleh Profesor Madya Dr. Baharudin Ahmad telah disempurnakan oleh Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Sanusi bin Junid, pada 9 Januari. Turut dilancarkan dalam majlis tersebut ialah buku Science In Islam and the West oleh Profesor Dr. Cemil Akdogan terbitan UIAM. Buku ini menghimpunkan pandangan pemikir Timur dan Barat dalam bidang falsafah sains yang mengkritik sains moden. Antara penyumbang dalam buku ini termasuklah S.H. Nasr, Huston Smith, Lord Northborne, Frithjof Schuon, Osman Bakar serta rencana dan pengenalan oleh Baharudin Ahmad.

Buku ini menolak anggapan bahawa sains Barat moden adalah satu-satunya sains yang boleh memberi semua tafsiran tentang hakikat kejadian walaupun tidak dinafikan tentang sumbangan sains Barat kepada manusia. Para penulis juga cuba meletakkan sains Barat moden dalam satu perspektif yang lebih sesuai. Mereka mengkritik anggapan serta tafsiran sains Barat moden terhadap agama dan fenomena agama.

Tun Dr. Mahathir melancarkan buku Chedet.com Blogging to Unblock pada Ramadan lalu. Buku ini menghimpun koleksi pilihan tulisan dalam blog chedet.com dan di terbitkan oleh Berita Publishing.

Buku The Malays-Their Prioblems and Future oleh Dr. Syed Husin Ali juga diterbitkan dan dilancarkan pada tahun ini. Buku ini ditulis berdasarkan pengamatan beliau terhadap perkembangan sejarah orang Melayu di negara ini bermula daripada awal kurun ke 20. Syed Husin Ali mengupas persoalan identiti Melayu, permasalahan dan kemiskinan yang melanda mereka dan masa depan yang bakal dihadapi.

Buku oleh kolumnis terkemuka Allahyarham Rustam A. Sani berjudul Social Roots of the Malay Left dan Failed Nation juga diterbitkan dan dilancarkan selepas kepergian beliau. Seorang pengulas berpendapat buku pertama beliau agak ketinggalan kerana kajian tersebut dilakukannya lama dulu sewaktu beliau menyiapkan kajian peringkat sarjananya. Judul buku kedua pula dikatakan terlalu besar dan tidak terjangkau oleh tulisan Rustam di dalamnya.

Seorang ahli Parti Gerakan gagal dalam usahanya untuk menghalang pelancaran buku berjudul Non-Sectarian Politics in Malaysia: The Case of Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Chia Loong Thye yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, tetapi kalah kepada calon DAP, mendakwa muka surat 145 buku itu mengandungi perkataan yang memfitnah dirinya. Pada 29 Julai dia memfailkan saman fitnah terhadap pengarang buku itu – Neil Khor Jin Keong dan Khoo Kay Peng serta penerbit dan pencetaknya.

Demikianlah sebahagian perkembangan dan isu yang dihadapi oleh industri perbukuan di negara ini sepanjang tahun 2008. Dalam kemelut ekonomi yang sedang melanda, industri buku akan berdepan dengan masalah yang lebih mencabar pada tahun depan.

November 3, 2008

Perjalanan panjang belia Pulau Pinang

SEJARAH pergerakan belia negeri Pulau Pinang diabadikan dalam sebuah buku 60 Tahun Perjalanan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang yang baru diterbitkan ini. Buku ini melakarkan kembali jalan panjang selama 60 tahun yang dilalui oleh Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) sejak ditubuhkan pada 17 November 1948.

Mengikut rekod, penubuhan MBNPP diputuskan dalam persidangan Malayan Youth Council pada 23 Julai 1948 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Pada asalnya MBNPP memakai nama Settlement Youth Council And Province Wellesley dan diterajui pertama kalinya oleh Hakim Fred Arullnandam.

Seperti pergerakan lain ketika itu, State Youth Council juga bergerak dengan azam dan semangat ahli-ahlinya yang ghairah ke arah mendapatkan kemerdekaan. Strategi ketika itu adalah bagi merapatkan barisan antara semua ahli daripada setiap bangsa. Pemimpin belia sedar, kunci ke arah melepaskan rakyat daripada belenggu penjajahan ketika itu ialah dengan memantapkan perpaduan kaum. Hal ini amat jelas daripada petikan ucapan beberapa pemimpin belia negeri Pulau Pinang yang diterbitkan semula dalam buku ini.

Badan bukan kerajaan ini dalam sejarahnya telah menjalin kerjasama yang erat dengan kerajaan negeri dan pusat. Sejarah panjang Penang Youth Council bagi menyatukan belia peringkat negeri itu agak berliku juga sama sulitnya dengan usaha memupuk perpaduan kaum pelbagai peringkat. Setelah tercetusnya peristiwa sengketa kaum pada 13 Mei 1969, pertubuhan itu menerima kesan sehingga merencat kegiatannya pada awal dekad 70-an. Rani Ibrahim yang memimpin Penang Youth Council telah mengambil pelbagai langkah bagi menyusun semula barisan belia di Pulau Pinang.

Sungguhpun baru bangkit daripada kegawatan akibat tragedi permusuhan kaum 1969, Penang Youth Council dapat terus melaksanakan pelbagai kegiatan yang menautkan kembali belia pelbagai kaum di Pulau Pinang di bawah satu payung. Penang Youth Council bahkan masih mampu menjadi tuan rumah Asian Youth Seminar pada 1976.

Pada suatu ketika timbul masalah teknikal apabila wujud dua pertubuhan yang memimpin pergerakan belia di Pulau Pinang. Selain Penang Youth Council yang bernaung di bawah Malayan Youth Council dan berdaftar sebelum wujudnya Akta Pertubuhan pada 1966, terdapat pula Majlis Belia Malaysia Bahagian Penang yang berdaftar pada 1970. Dengan kemuafakatan yang ada, dikekalkan Majlis Belia Pulau Pinang yang diterima pendaftarannya pada 1979.

Perkembangan ini memudahkan lagi pembangunan belia di negeri tersebut. Nadi pergerakan belia Pulau Pinang pada ketika itu sangat tertumpu kepada Kompleks Pelbagai Guna Batu Uban yang baru dirasmikan oleh Datuk Ali Ahmad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

MBNPP telah melangkah jauh dengan melibatkan anggotanya dalam pelbagai program belia peringkat antarabangsa melalui kegiatan lawatan, seminar, pertukaran belia, dialog dan persembahan kebudayaan.

Bermula pada 1979, MBPP turut menghantar anggotanya dalam program Kapal Belia Asia Tenggara, Nippon Maru yang memberikan kefahaman tentang kehidupan masyarakat Asia. MBPP kemudian menjadi tuan rumah dan menyambut 210 belia Asia dalam kapal Nippon Maru yang berlabuh di pelabuhan Pulau Pinang pada 1983.

Banyak lawatan dari pelbagai pertubuhan belia antarabangsa telah diterima oleh MBPP ke negeri itu sebagai membalas lawatan ke luar negara yang dilakukan. Pada 2001 termeterai pula perjanjian persefahaman dengan The Adelaide Sister City Young Ambassadors sehingga melebarkan sayap perjuangan MBPP.

MBPP menjenamakan semula pertubuhan itu pada 2006 dengan memakai nama baru dan dikenali sebagai Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP). Struktur organisasi pertubuhan ini juga diubah bagi menyesuaikan pelbagai perubahan yang berlaku kebelakangan ini.

Buku ini turut merakamkan usaha MBNPP mewujudkan masyarakat belia yang mengamalkan gaya hidup berkualiti, mempunyai jati diri yang mantap, berpegang kepada nilai-nilai murni, bersemangat sukarela, patriotik dan berdikari dalam menghadapi pelbagai cabaran. MBNPP menjalankan usaha mengukuhkan sahsiah dan kekuatan diri belia melalui program kemahiran, peluang perniagaan dan keusahawanan. Selain itu MBNPP turut membantu kerabatnya dalam memantapkan kegiatan dan pengurusan belia peringkat akar umbi.

Dalam masa yang sama MBNPP berusaha membina kestabilan dan integrasi nasional dengan membina peribadi belia yang positif, dinamik dan produktif. MBNPP juga mengambil pelbagai langkah proaktif ke arah berusaha menjauhkan belia daripada anasir subversif, vandalisme dan kegiatan samseng. Usaha ini amat penting bagi menyediakan belia sebagai pelapis dalam barisan kepimpinan negara.

Melalui pelbagai program yang dijalankan, pertubuhan ini juga membantu belia meningkatkan jaringan dan interaksi dengan masyarakat belia antarabangsa. Ini tentunya menjadikan pemimpin belia lebih terbuka dan mengenali pelbagai masalah di luar batas yang lebih luas.

Banyak usaha yang telah dilakukan dalam memastikan kelompok muda di negara ini menjalani kehidupan yang positif. Kepada golongan belialah negara ini menyandarkan harapannya dan nasib serta masa depannya. Kepada belia kita pertaruhkan kejayaan dan kemajuan kita dalam dekad yang mendatang. Jika lemah belia kita pada masa kini, akan lemahlah negara kita pada masa akan datang.

Pertubuhan belia memegang peranan memastikan belia negara ini tidak dipengaruhi oleh unsur yang dapat melemahkan kekuatan benteng negara serta menjadi tonggak dalam menegakkan negara kita yang telah lebih 50 tahun merdeka.

MBNPP telah membuktikan peranan yang dimainkannya dalam tempoh 60 tahun lalu. Namun demikian, usaha yang telah dimainkan oleh MBNPP tidak boleh berhenti setakat itu sahaja. Kita tidak boleh tersenyum membaca rakaman sejarah kejayaan yang belum tentu akan berterusan dan berulang. Dekad yang bakal mendatang akan muncul dengan pelbagai cabaran yang tidak semuanya dapat dijangkakan.

Dunia yang global dan semakin mengecil akan menuntut belia kita lebih supaya bersedia menghadapinya dengan pelbagai persediaan. Setiap belia kita mesti ditanamkan ciri-ciri terpuji bagi menjadikan mereka modal insan yang paling berharga untuk diwarisi oleh negara yang kuat.

October 30, 2008

Perginya pemimpin wanita berhaluan kiri

pejuang politik berhaluan kiri dan bekas Ketua Umum Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Shamsiah Fakeh meninggal dunia pukul 9 pagi semalam pada usia 84 tahun kerana sakit tua. Anak kedua daripada lapan orang adik-beradik itu lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ayahnya seorang peniaga, Sutan bin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai ‘Fakeh’ kerana dihormati atas keilmuan agamanya yang tinggi. Ibunya bernama Sa Asma binti Nonggok. Ibu dan ayahnya adalah perantau dari Padang, Sumatera yang berhijrah ke Tanah Melayu dan menetap di Kuala Pilah.

Shamsiah pernah mengajar di Madrasah al-Akhlak Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai pada 1945 dan bermulalah kegiatannya menyuntikkan semangat anti-Inggeris dan perjuangan kemerdekaan kepada masyarakat setempat.

Ketika usianya 24 tahun, beliau menerima undangan pucuk pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bagi menyertai parti itu dan menjadi Ketua Umum AWAS, iaitu sayap wanita PKMM menggantikan Aishah Ghani yang meletakkan jawatan.

AWAS kemudian dipimpin oleh Shamsiah untuk menyertai gabungan Pusat Tenaga Rakyat – All Malayan Council of Joint Action (PUTERA-AMCJA). Shamsiah juga membawa AWAS bekerjasama dengan Angkatan Pemuda Insaf (API), pimpinan Ahmad Boestamam bagi menaikkan semangat pemuda pemudi Tanah Melayu ke arah kemerdekaan.

Gandingan suami isteri pemimpin API-AWAS, Ahmad Boestamam-Shamsiah ini telah menjadi pemangkin dalam mempercepat kepanasan semangat nasionalisme dalam kalangan anak muda di Tanah Melayu.

Selepas berpisah dengan Boestamam, Shamsiah berkahwin pula dengan Wahi Annuar, pemimpin Ikatan Pemuda Tanah Air yang juga bekerja rapat dengan PKM.

Menentang

AWAS menganjurkan Hari Wanita Pekerja Antarabangsa di Jenderam, Selangor pada 8 Mac 1947. Shamsiah juga memimpin ahli-ahli AWAS turut serta dalam rapat umum dan perarakan anjuran Pembela Tanah Air (PETA) di Temerloh pada penghujung Mac 1948 bagi menentang penjajahan Inggeris. Tumpuan beliau juga diberikan bagi mengukuhkan AWAS di Pahang khususnya di Lubuk Kawah, Temerloh sehingga berjaya mengumpulkan 65,000 ahli dalam 67 cawangan.

Selepas Inggeris mengisytiharkan darurat, Shamsiah diburu manakala PKM, PKMM dan AWAS diharamkan. Semua kegiatan radikal dan komunisme diharamkan. Shamsiah dan teman-temannya berundur ke dalam hutan di Temerloh dan menyertai Rejimen Ke-10, pasukan gerila Melayu pimpinan Abdullah C.D. yang juga bekas pimpinan pusat PKMM dan anggota Jawatankuasa Pusat, Parti Komunis Malaya. Dengan tekanan yang diterima, Rejimen Ke-10 berundur lebih jauh ke sempadan Malaysia – Thailand pada 1953.

Shamsiah kemudian dihantar oleh PKM ke China sebelum ditukarkan bersama suaminya Ibrahim Mohamad ke Jakarta dan berkhidmat dalam Liga Pembebasan Nasional Malaya (LPNM).

Di Jakarta mereka berdua berkhidmat bersama Abdullah Sudin dari Singapura. Dengan tercetusnya Gestapu (30 September 1965), Sukarno digulingkan, Shamsiah dan teman-temannya dalam LPNM ditangkap dan dibuang negeri ke China. Bagi meneruskan hidupnya, Shamsiah bekerja di kilang besi.

Shamsiah tidak lagi aktif berjuang bersama PKM sejak 1968. PKM menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989 di Haadyai dan ketika itu Shamsiah dan keluarganya masih berada di China.

Beliau kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994. Apabila kembali ke tanah air, Shamsiah menulis kisah hidupnya dan menerbitkannya dengan judul Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10.

Shamsiah dan AWAS akan terus dicatat dalam sejarah sebagai pejuang dan pertubuhan berhaluan kiri.

October 30, 2008

Mencari jurnal ilmiah kita di Internet

SALAH satu jasa Internet yang agak besar setakat ini kepada dunia penerbitan ialah pertumbuhan terlalu banyak jurnal elektronik.

Termasuk dalam kumpulan jurnal elektronik ialah kesemua terbitan bersiri. Akhbar, majalah, buletin dan tidak ketinggalan jurnal ilmiah.

Penerbitan elektronik yang awal dalam bentuk disket dan CD-ROM tidak begitu meggigit antara lain kerana sifatnya yang tidak online seperti yang dapat ditawarkan oleh Internet. The Online Journal of Current Clincal Trial diiktiraf sebagai jurnal online pertama di dunia, diterbitkan oleh American Association for the Advancement of Science.

Pada tahun 1991 cuma ada 110 buah jurnal elektronik. Angka ini melonjak panas menjadi 133 pada tahun 1992, 240 (1993), 443 (1994) 675 (1995) dam 1689 (1996). Angka ini adalah yang dirakamkan oleh ARL Directory. Ramai penyelidik mencatatkan angka jurnal elektronik yang lebih besar.

Di Malaysia, penerbitan elektronik juga tumbuh sejajar pertumbuhan di luar negara serta atas usaha kerajaan yang amat serius dengan IT. Hampir kesemua akhbar arus perdana mewujudkan versi elektronik yang online di Internet. Demikian juga dengan akhbar-akhbar milik pembangkang seperti Harakah dan Roket. Majalah mingguan dan bulanan juga tidak ketinggalan memindahkan penerbitan ke Internet. Kita juga dapat membaca bermacam-macam buletin terbitan agensi awam dan swasta negara ini di Internet.

Kalau rajin, kita juga dapat membaca majalah yang diusahakan oleh kanak-kanak sekolah di Internet.

Yang sukar dicari di Internet ialah jurnal ilmiah kita. Namakanlah apa saja jurnal ilmiah sama ada yang sudah lama terbit ataupun yang baru, dan carilah versi elektroniknya di Internet. Gunakanlah apa juga enjin pencarian daripada altavista ke gogle, ke Hotbot ke Axite atau apa saja. Kalau ada pun kita cuma akan menjumpai beberapa nama lain yang boleh dihitung dengan jari sepuluh selain daripada Malaysian Journal of Computer Science dan Malayan Law Journal. Benarlah Internet suatu gejala baru dalam era IT. Akan tetapi, Internet juga medium baru bagi komunikasi ilmiah. Penerbitan di Internet jauh lebih murah dan pantas jika dibandingkan penerbitan konvensional kerana untuk muncul di Internet tidak perlu filem dan pisah warna, cropping dan masking, tidak perlu mesin cetak, dakwat dan kertas, tiada mesin pemotong atau penjilid tiada pembugkusan dan penghantaran, tiada kelewatan, cetak terbalik dan sebagainya yang dihadapi dalam penerbitan konvensional.

October 30, 2008

Dunia buku tuntut perubahan

TAHUN 2006 mencatatkan banyak juga kemajuan dan perkembangan dalam industri perbukuan di negara ini. Sedikit sebanyak pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun lalu mencerminkan sikap dan amalan membaca di kalangan rakyat negara ini yang semakin meningkat. Antara kegiatan yang menonjol termasuklah pesta buku, wacana buku, kempen membaca dan penerbitan buku baru terutamanya dalam genre memoir dan biografi.

Walaupun banyak teguran dan kritikan dilemparkan terhadap penyelenggaraan Pesta Buku Kuala Lumpur 2006 yang dilihat tidak bermaya dan masih di takuk lama, namun penganjurnya masih mampu meneruskan pesta yang menghimpunkan peminat buku tanah air.

Setahun sekali penggiat buku tempatan berkumpul di sini – pustakawan datang dari seluruh pelosok negeri membuat tempahan buku untuk perpustakaan masing- masing, editor dan penerbit mengintai pengarang berpotensi di sini, selain menguar- uarkan buku baru melalui program diskusi dan pelancaran buku. Ulat buku juga tidak ketinggalan mencari-cari judul buku yang diminati.

Semasa dimulakan pada 1982 pesta ini lebih bertumpu di Kuala Lumpur sahaja. Pesta buku yang digerakkan oleh ‘tauke buku’ ketika itu dirasakan kurang mendatangkan kesan. Oleh hal yang demikian, Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) telah mencari jalan mengadakan pesta buku yang terancang dan tersusun di seluruh negeri dan daerah. Selepas itu, pesta buku anjuran Majlis Kemajuan Buku Malaysia (MBKM) dan badan-badan dalam industri buku telah dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia dari semua negeri dan kini telah berusia suku abad. Wajarlah pesta ini mencerminkan kematangan pengurusannya bagi memenuhi matlamat Dasar Buku Negara.

Selain MBKM perlu membuat perubahan dengan mengemukakan program yang lebih sesuai dengan cita rasa pembaca pada hari ini, syarikat-syarikat yang membuat pameran perlu juga menambah lebih banyak judul terutama bagi bidang yang berkaitan dengan teknologi komputer, pengurusan, sains dan teknologi serta perdagangan dan bidang profesional yang lain kerana judul-judul ini kini mendapat tempat di kalangan pembaca.

Bergantung kepada judul asing bermakna kita mengalirkan wang ke luar. Penerbit juga mesti berusaha meningkatkan kualiti pameran ke tahap yang lebih profesional. Bahan seperti alat tulis dan buku-buku lama tidak seharusnya dilonggok di pesta bertaraf antarabangsa. Mereka perlu mempromosi buku-buku baru dan terkini, termasuk best seller. Selain pameran dan jualan, MBKM juga perlu memberi pengiktirafan kepada penerbit, editor dan pengarang sama ada dalam bentuk anugerah atau hadiah sebagai insentif kepada mereka. Sifat ‘antarabangsa’ pada pesta ini perlulah ditonjolkan lagi dengan penyertaan penerbit buku asing dalam menjual beli hak cipta intelektual pengarang tempatan.

Kempen membaca juga satu lagi program yang sering diadakan tetapi kesannya dirasakan semakin hari semakin kurang terutama bagi masyarakat di luar Kuala Lumpur. Kempen yang digerakkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia ini nampaknya memerlukan nafas dan nyawa baru demi menjamin hasrat dan pelaburan kerajaan mencapai matlamatnya.

Tidak disangkal bahawa pelancaran kempen membaca 2006 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memang amat baik namun jumlah pelajar dan masyarakat yang mengambil bahagian dan mendapat faedah langsung adalah terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan masyarakat yang patut diajak sama-sama membaca. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di bawah pimpinan ketua pengarahnya yang baru, Siti Zakiah Aman yang kelihatan lebih muda, bersemangat, tegas dan bertenaga serta para pegawai kanan beliau tentu dapat merancang sesuatu yang lebih bermakna, berkesan dan bermanfaat pada masa akan datang.

Siti Zakiah perlulah berani membawa perubahan dengan turut melibatkan penggiat buku di luar PNM dalam setiap program yang diadakan. Apa yang dilakukan sekarang memanglah baik tetapi masyarakat kini lebih sofistikated, pantas, dan inginkan semuanya yang baru.

Kebaharuan inilah yang gagal dibawa oleh PNM dalam menggerakkan kempen dan gerakan membaca. Dasar Buku Negara yang diluluskan oleh Kabinet pada tahun 1985 digubal untuk memastikan pendekatan yang padu bagi perkembangan buku, untuk mengatasi rintangan dalam usaha mewujudkan serta mengembangkan industri buku yang sihat dan untuk mengatasi pelaksanaan yang tidak teratur yang mungkin menghalang perkembangan buku.

Matlamat Dasar Buku Negara yang utama ialah untuk memastikan supaya buku dalam bahasa Melayu dapat memainkan peranan yang berkesan sebagai alat pembangunan fikiran, sosial dan kebudayaan, sesuai dengan keperluan dan cita-cita negara. Dengan jumlah terbitan dalam bahasa Melayu yang bertambah setiap tahun, dapatlah dikatakan bahawa dasar ini sedikit sebanyak telah berjaya merangsang penerbitan buku dalam bahasa Melayu.

Dengan kadar pembacaan buku yang masih rendah, matlamat untuk memastikan supaya buku dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat di negara ini masih belum tercapai sepenuhnya. Pertambahan judul bukan bermakna semakin ramai rakyat yang membaca.

Untuk memastikan supaya rakyat di negara ini mempunyai minat membaca yang tinggi, masih banyak yang perlu dilakukan. Kempen membaca yang lebih giat dan berkesan mesti dilakukan.

Kerja menerbitkan buku adalah tugas profesional. Sampai kini, kita belum mempunyai sebuah pun institusi latihan bagi melatih pengarang dan editor dalam kerja mengarang dan menyunting. Berbeza keadaannya bagi bidang seni yang mempunyai Akademi Seni Kebangsaan (ASK), Balai Seni Lukis Negara dan Istana Budaya ataupun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Untuk memastikan supaya semua buku yang diterbitkan di negara ini mencapai mutu yang baik dari segi isi dan juga dari segi bentuk fizikalnya perlulah diwujudkan institut latihan sebagaimana yang terdapat di India ataupun di negara Barat yang menganjurkan sesi bengkel dan kursus profesional jangka pendek.

MBKM sebagai sebuah badan profesional dan penasihat buku peringkat kebangsaan telah diamanahkan untuk melaksanakan dasar dan saranan yang terkandung dalam Dasar Buku Negara boleh merintis jalan ke arah penubuhan sebuah institut perbukuan di negara ini.

MBKM juga berperanan memajukan penerbitan buku dan menggalakkan perusahaan buku di negara ini. Namun usaha ini nampaknya semakin kurang berkesan.

Kalau dulu MBKM ada menganjurkan Hadiah Buku Kebangsaan, kini tidak ada lagi hadiah buku yang berprestij untuk pengarang, penerbit dan editor di negara ini. Program penggalakan perlulah dihidupkan kembali demi meningkatkan profesionalisme di kalangan petugas buku.

Penerbitan buku terjemahan terus memperlihatkan zaman gelapnya khususnya bagi penerbitan peringkat tinggi. Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) masih meneruskan dasarnya menerbitkan buku yang membuat untung. Menterjemah sebagai suatu kegiatan ilmu dan mengembangkan budaya bukan lagi menjadi keutamaan.

Karya terjemahan yang dapat dianggap besar dan menonjol terbit 2006 ialah Memoirs of a Geisha karya Arthur Golden yang telah diterjemahkan oleh Abd. Latiff Bidin dan diberi judul Kenang-Kenangan Seorang Geisha. Latiff tentu sahaja berdepan dengan cabaran ketika menterjemahkan novel yang kaya dengan nilai sastera seperti penggunaan bahasa yang berseni dan berirama, disulami ungkapan melankolik dan bombastik.

Tambahan pula, beliau menterjemah dalam tempoh yang amat singkat, 45 hari, bagi karya setebal lebih 700 halaman ini.

October 30, 2008

Memburu buku terpakai

Buku lama, buku terpakai, buku second hand mempunyai nilai yang berbeza- beza kepada kita semua. Kepada kebanyakan orang, buku lama cuma menghimpun habuk dan debu, membazir ruang dan menyemakkan mata memandang dan patut dihumbankan jauh-jauh.

Kalau dijual dan ditimbang kati pun harganya tidak seberapa. Namun, kepada segelintir orang lain, buku-buku lusuh ini ada harganya.

Kalau ke Pulau Pinang, peminat buku second hand tentu kenal akan pasar Chowrasta tidak jauh dari Penang Road. Kebanyakan orang singgah untuk membeli buah pala, jeruk dan asam serta belacan buatan Pulau Aman di situ. Tak ramai yang mengetahui di bahagian atas bangunan tersebut menempatkan banyak kedai menjual buku terpakai.

Saya sendiri mengenali tempat ini daripada arwah Syed Hussein Alatas yang sering membeli buku terpakai di situ. Di sini kita dapat membeli buku baru dan lama, murah dan mahal, semuanya dengan tawar-menawar. Memang saya dan teman- teman peminat buku sering mendapat buku yang baik-baik di sini.

Di Kuala Lumpur atau Petaling Jaya, ada banyak kedai buku terpakai milik peniaga India Muslim atau kita boleh juga ke kedai buku Payless di Ampang Point atau di Ampang Park.

Kalau ke Jakarta, memang ada beberapa tempat yang agak baik dikunjungi oleh pencinta buku misalnya Pasar Festival di Kuningan. Di sini buku lama, kadangkala disebut buku vintage atau buku perawan tua. Di sini kita boleh mendapat buku sehingga lebih murah daripada separuh harga asal. Memang ini adalah syurga bagi penggemar buku harga murah.

Sudin, salah seorang daripada sekian banyak penjual buku terpakai di Jakarta bertempat di Taman Mini Indonesia Indah, mampu mengubah buku terpakai menjadi buku berharga. Buku terpakai diperolehnya daripada pengumpul barang terpakai yang berkeliling ke kampung-kampung dan membeli kertas atau buku secara timbangan berat.

Kemudian, pengumpul barangan terpakai yang berkeliling kampung itu menjual kembali barang tersebut secara timbangan berat. Sudin, membeli buku-buku tersebut dengan harga murah. “Kadang-kadang, buku ini kami beli Rp5 ribu ( RM2), bisa laku dijual kembali Rp500 ribu (RM200), karena orang umumnya enggak tahu nilai buku itu,” ungkap Sudin.

Sudin bagaimanapun tidak hanya bersandar kepada para pengumpul barang terpakai. Dia dan kawan-kawannya kerap juga berburu buku dari pejabat-pejabat kerajaan yang ingin menjual koleksi buku- buku terpakai mereka yang sudah tidak diperlukan lagi. Dari sinilah Sudin memperoleh buku-buku langka dan kuno tentang Indonesia.

Kalau ke Jakarta, saya memang tidak pernah lepas mengunjungi Jalan Kwitang Raya. Sepanjang kaki lima jalan di sini dipenuhi penjual buku terpakai. Di sini juga terdapat banyak kedai buku yang besar termasuklah Gunung Agung. Buku-buku yang baik juga di sini dapat dibeli dengan harga lambak Rp10 ribu dan Rp5 ribu malah ada yang sampai Rp2 ribu.

Perbualan dengan Khairul, salah seorang penjual buku di Kwitang Raya, lebih menarik lagi. Beliau meneruskan perniagaan yang dimulakan oleh ayahnya sejak tahun 1970-an. Koleksi Khairul lebih tertumpu pada buku pengajian tinggi yang digunakan di universiti. Memang tempat ini terkenal di kalangan peminat buku dari Malaysia pun.

Menjual buku terpakai, bagi Khairul lebih menguntungkan berbanding menjual buku baru. Jika penjualan sehari mencecah Rp200 ribu (RM 80), beliau sudah untung Rp50 ribu (RM 20). Jumlah tersebut lebih besar dibandingkan dengan keuntungan yang diraihnya kalau menjual buku baru.

Keuntungan menjual buku terpakai bergantung pada permainan penjualnya. Pembeli tidak mengetahui modal penjual buku terpakai, tidak seperti menjual buku baru, pembeli dapat mengagak peratusan keuntungan penjual dan tidak ada keperluan tawar-menawar, apa lagi untuk melambungkan harga.

Kebanyakan pelanggan yang singgah di kedainya adalah mahasiswa yang memang mencari buku terpakai kerana buku yang dibeli cuma digunakan untuk satu semester sahaja.

Pasar buku lambak di Kwitang Raya, tidak hanya menjual buku terpakai. Di sini kita dapat mencari buku lama yang tidak diulang cetak dan sukar ditemui di tempat lain, di sini juga ada buku baru termasuk buku baru yang dicetak rompak dan dijual dengan harga yang murah. Kamus Besar Indonesia misalnya dapat dibeli dengan harga semurah RM30 sungguhpun harga sebenarnya sekitar RM12. Demikian juga Memoir B.J. Habibie dapat dibeli dengan separuh harga kerana dicetak dengan kertas yang murah.

Kalau kita rajin mencari, di sini kita dapat temui karya Kahar Muzakar seperti Petualangannya terbitan tahun 1964, atau buku Soekarno yang berjudul Tujuh Bahan Pokok Indoktrinasi terbitan pertama, dan jangan terkejut jika mendapatkan Sarinah atau Di Bawah Bendera Revolusi.

Seperti dalam perniagaan yang lain, di sini di jual apa saja, buku baru dan buku lama, yang asli dan cetak rompak, bahkan buku yang terlarang sebab yang terlarang itulah menjadi buruan pembaca dan pembeli. Untuk itu kita mesti bertanya dan akan dikeluarkanlah dari bahagian yang tersorok.

Dari segi layanan juga tidak kurang baiknya. Sebutkan saja judulnya, mereka akan lincah mencarinya dan kalau tidak ada dalam simpanan, mereka akan berkejar mencari kawan-kawan bersebelahan yang ada menyimpannya.

Demikianlah, peminat buku terpakai memang gemar suasana kaki lima yang hiruk- pikuk ini, namun pasti puas kerana dapat membeli buku yang dicari dengan harga paling murah.

Keadaan ini berbeza dengan Pasar Chowrasta, Pulau Pinang yang tertutup di tingkat atas bangunan tersebut. Namun kedua-dua tempat ini tetap ada keistimewaannya kepada penggemar buku Malaysia.

October 30, 2008

Mengkaji buku haram

KEMENTERIAN Keselamatan Dalam Negeri baru-baru ini mengharamkan 37 judul buku serta penerbitan mengenai agama Islam yang didapati mempunyai fakta yang menyeleweng dan boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Dua puluh satu judul yang dilarang itu dalam bahasa Inggeris dan terbit di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan Jordan manakala 16 tajuk lagi adalah dalam bahasa Melayu yang diterbitkan oleh penerbit tempatan dan Indonesia.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Che Din Yusoh berkata, penerbitan itu dikenakan perintah larangan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana isi kandungan serta penulisan yang menyentuh kesucian agama Islam, menyelewengkan fakta dan ajaran Islam sebenar atau mempunyai unsur yang menyesatkan akidah, serta menghina nabi dan rasul.

“Sekiranya penerbitan berkenaan dibiarkan ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan dalam kalangan umat Islam dan seterusnya boleh memudaratkan ketenteraman awam,” katanya.

Senarai tajuk buku serta penerbitan, nama pengarang, penyusun atau penterjemah, penerbit serta dari negara mana buku berkenaan dicetak disenaraikan dalam Warta Kerajaan bertarikh 26 April 2007.

Di Malaysia, perbahasan tentang bahan-bahan yang diharamkan memang amat kurang. Apa yang selalu dibaca adalah berita tentang pengharaman sesuatu judul buku, akhbar atau majalah, noktah.

Orang media kebanyakannya menolak sebarang bentuk larangan dan pengharaman terbitan atas nama kebebasan bersuara atau kebebasan akhbar, manakala orang akademik sering bersikap terbuka terhadap apa jua pemikiran kerana bagi mereka jalan keluar bagi sesuatu pendapat yang bertentangan atau yang batil ialah dengan menerbitkan kajian atau pandangan baru bagi membatalkan atau menolak pandangan yang salah.

Dalam negara seperti Malaysia, orang media dan orang akademik juga memahami bahawa di negara berbilang agama dan etnik ini, kepentingan semua pihak perlu dijaga termasuk sensitiviti kaum. Kerajaan melindungi hak pengarang berupa karya intelek dan kepengarangan, hak penerbit dan pencetak berupa pelaburan dan dalam masa yang sama kerajaan juga mempunyai hak dan kepentingannya yang perlu dilindungi.

Justeru kita melihat di negara ini terdapat pelbagai akta dan undang-undang yang digubal demi menjaga kepentingan semua pihak. Kerahsiaan dokumen kerajaan misalnya dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) manakala pelbagai isu lain di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Dalam sejarah pengharaman buku di negara ini, tidak semua buku kekal diharamkan terutama yang berunsurkan politik.

The Malay Dilemma oleh Mahathir Mohamad adalah contoh buku yang tidak disenangi oleh pemerintah ketika mula-mula diterbitkan. Namun demikian, apabila pucuk pimpinan bertukar tangan, buku itu dilepaskan daripada senarai yang diharamkan dan diulang cetak beberapa kali dan kini dianggap karya klasik.

Demikian juga, semasa hidupnya, Khatijah Sidek menerbitkan memoirnya secara bersiri dalam majalah Eastern Horizon di Hong Kong kerana sukarnya menerbitkan kisah hidupnya yang bersengketa dengan pemimpin ketika itu. Walau bagaimanapun, memoir tersebut diterbitkan di negara ini apabila suasana politik telah berubah.

Karen Armstrong, banyak menerbitkan buah fikirannya yang memperjuangkan kesamarataan dan persefahaman di antara agama yang berbeza diharamkan bukunya oleh KKDN dua tahun lalu berjudul A History of God dan Muhammad: A Biography of the Prophet.

Tahun lalu, KKDN mengharamkan bukunya The Battle for God manakala pada tahun 1992 juga diharamkan bukunya Muhammad A Western Attempt to Understand Islam. Walau bagaimanapun, banyak karya beliau yang lain yang dilihat lebih progresif dan memihak kepada keamanan sejagat tidak pula diharamkan oleh KKDN.

Di sini kita melihat bahawa adanya tapisan yang teliti dilakukan oleh KKDN terhadap sesebuah karya dan pengarang.

Satu kajian yang saya terbitkan terhadap 182 judul dilarang edarannya sepanjang tempoh antara tahun 2000 hingga 2005, memperlihatkan bahawa yang paling banyak adalah buku dalam bahasa Melayu (42 peratus) diikuti dalam bahasa Inggeris (39 peratus), bahasa Cina (17 peratus), bahasa Tamil (tiga peratus).

Pada keseluruhannya, sepanjang lima tahun tersebut, tiga suku daripada judul yang diharamkan adalah terdiri daripada judul-judul yang diimport.

Pada 2004, pengharaman judul dari luar negara melonjak kepada 73 (100 peratus) dan dengan yang demikian, jumlah pengharaman judul dalam bahasa Inggeris turut meningkat. Bahkan, pada tahun tersebut memang tiada satu pun judul tempatan yang diharamkan oleh KKDN.

Kebanyakan buku yang diharamkan adalah dari Indonesia (31 judul) diikuti Amerika Syarikat (28 judul), United Kingdom (27 judul), Hong Kong (26 judul), Taiwan (sembilan judul), Australia (tiga judul) dan India serta Kanada masing-masing dua judul dan beberapa negara lain (8 judul). Hampir kesemua buku dari Indonesia adalah berkaitan agama Islam atau Kristian yang dapat dianggap mengancam akidah umat Islam di negara ini.

Kebanyakan buku dari Hong Kong pula adalah buku lucah. Bagi mengelak daripada diharamkan edarannya, bahan-bahan yang diterbitkan mestilah tidak mengandungi perkara-perkara yang menyentuh kesucian Islam; tidak mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan mazhab Ahli Sunah Waljamaah; tidak mempersendakan dan mempersoalkan kewibawaan sember-sumber hukum Islam yang utama iaitu al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan qias; tidak bercanggah dengan pegangan mazhab Ahli Sunah Waljamaah; tidak bertentangan dengan fatwa atau pendapat jumhur ulama; tidak mengandungi unsur-unsur Isra‘illiyat, Khurafat dan kebudayaan karut; tidak menimbulkan keraguan dan kegelisahan awam; tidak mengandungi penulisan ayat-ayat al-Quran dengan tulisan selain daripada bahasa Arab; tidak menyalahi fakta-fakta sejarah; dan tidak mengilustrasikan gambar-gambar para nabi, sahabat yang empat, malaikat serta memperwatakkan gambar-gambar tersebut.

Dalam suatu senarai yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) terdapat 89 judul buku dalam bahasa Inggeris dan 292 judul dalam bahasa Melayu yang diharamkan sejak tahun 1969. Jadi, jumlah pengharaman lebih banyak kepada judul dalam bahasa Melayu.

Namun demikian, pecahan besar adalah bahan-bahan dalam bahasa Indonesia yang digolongkan juga sebagai bahan bahasa Melayu.

Judul pertama dalam senarai tersebut adalah sebuah dokumen tanpa nama pengarang, pencetak mahupun penerbit. Dokumen ini direkodkan sebagai bermula dengan “Kita telah bangun dari tidur nyenyak pada petang 31.5.1969 . . .” dan berakhir dengan . . .” Janganlah takut di atas perkara yang benar.” Dua bahan berikutnya juga demikian sifatnya tetapi menggunakan nama pengarang Bumi Putra Jati dan Awang Sulong. Bahan keempat direkodkan sebagai dokumen yang bermula dengan” Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh…”. Dua dokumen lain tanpa judul adalah tulisan Hj. Sulaiman Palestine. Kesemua bahan ini terbit pada tahun 1969.

October 29, 2008

Jeniri jadi kaya dengan menulis

TIDAK ramai penulis dengan berani mengakui mereka mendapat banyak duit dengan menulis. Ada penulis berselindung di sebalik beberapa nama pena bagi mengelak orang lain mengetahui mereka kaya dengan menulis.

Ada juga yang menulis, menerbitkan dan menjual sendiri karya bagi menjamin mereka mendapat untung sepenuhnya tanpa berkongsi dengan penerbit dan pengedar buku.

Jeniri Amir, penulis prolifik dari Sarawak antara sejumlah kecil penulis yang selalu bersedia berkongsi pengalaman peribadinya menulis dan hidup selesa sebagai penulis. Dalam masa dua puluh tahun, Jeniri telah menulis hampir seratus judul buku dan beratus-ratus rencana untuk akhbar dan majalah. Beliau diberi anugerah dalam kategori penulis Malaysia paling prolifik melalui Anugerah Buku Malaysia 2005, selain mendapat hadiah dalam Anugerah Buku Unimas 2007.

Mengenali Jeniri dengan lebih rapat, bekas guru, wartawan dan kini pensyarah bidang komunikasi di Universiti Malaysia Sarawak ini memang rajin menulis dan mendapat banyak wang dengan menulis. Beliau ‘gila’ membeli buku. Pejabatnya di Unimas cuma tinggal ruang kecil untuk pelajar datang mendapatkan nasihat dan rundingan. Di rumah dua tingkatnya, di Kampung Pinang Jawa, Petrajaya juga ada sebuah kamar besar yang sarat dengan buku.

Melihat keadaan rumahnya, kenderaan yang dipandunya dan cara hidupnya, dapatlah disimpulkan Jeniri memang buat duit dengan menulis buku, atau menghabiskan duit dengan membeli buku.

Jeniri menghabiskan hari-hari cutinya dengan menulis. “Nilai baki cuti tahunan kalau ditukar dengan wang selepas bersara tidak sebesar mana pun, lebih baik digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar bukan sahaja kepada penulis tetapi besar juga manfaatnya kepada pembaca,” jelas Jeniri bagaimana beliau memanipulasi cuti rehat tahunannya untuk menulis.

Beliau tidak mencuci keretanya sendiri, sebaliknya ‘menyimpan’ tenaganya untuk menulis. Tenaganya ditambah pula dengan membeli pil vitamin dan tenaga tambahan untuk tetap segar bila menulis. “Upah mencuci kereta tak seberapa. Itu rezeki budak-budak pencuci kereta. Masa dan tenaga mencuci kereta kalau digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar,” kata Jeniri itu memang ada kebenarannya.

Beliau menulis banyak buku tentang penulisan dan tidak ketinggalan mengajak kita semua menulis untuk wang. Sebelum ini beliau menerbitkan buku berjudul Buat Duit Dengan Menulis yang mendapat sambutan besar dan telah diulang cetak. Terbaru Jeniri muncul dengan bukunya Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar.

Dengan gaya bahasanya yang bertenaga Jeniri mengajak kita semua mengaut sebanyak-banyaknya wang besar dengan menulis buku yang orang lain mahu membacanya. Justeru, kita mesti mula mengasah kemahiran menulis kerana tidak semua dianugerahkan bakat menulis.

Dalam apa juga profesion dan kerjaya, disiplin adalah perkara utama. Demikian juga dengan penulisan kita mesti mendisiplinkan diri dengan pelbagai perkara daripada mengaturkan masa hinggalah memaksa diri membaca karya orang lain, merujuk kamus dan daftar ejaan, mengunjungi kedai dan pesta buku selain kerap ke perpustakaan.

Pilihlah genre yang kita minati dan akrab dengannya. Kita boleh saja menulis pelbagai karya kreatif dan popular termasuk novel, cerpen dan puisi hinggalah ke buku umum, buku teks atau ulasan politik. Tuah ayam nampak di kaki, tuah penulis pada royalti.

Justeru, perlulah kita membaca dan membuat rujukan, memerah otak mencari ilham dan idea dan menjawab soalan paling asas; mahu tulis apa? Bagaimana kaedah menulis yang paling berkesan? Bagaimana merangka dan mengajukan cadangan penulisan yang dapat meyakinkan penerbit dan editor? Bertolaklah dengan mula mengetahui dan mengenali pelbagai aspek dalam penerbitan buku.

Setelah tetap dengan apa yang ingin ditulis dan mula mengumpulkan bahan dan idea, mulakan dengan menyusunnya dan memikirkan tajuk yang baik, judul yang memikat. Dengan bantuan artis grafik, judul itu dipadankan dengan ilustrasi yang tepat sehingga menjadikan kulitnya cukup menawan dan menggoda pembaca membelinya.

Bagi menghidupkan tulisan, Jeniri memberikan beberapa pedoman antaranya menerapkan angka dan statistik, menyelitkan contoh dan memasukkan kutipan. Dalam karya kreatif, ada pelbagai cara memberikan nyawa kepada watak dan ada pula kaedah melukis watak agar menggerakkan minda pembaca. Penulis mesti cekap menyerlahkan sesuatu bau, bunyi, rasa – marah, sedih, kecewa, gembira.

Memang, bagi penulis yang baru, mereka boleh saja tersesat dan hilang punca apabila menulis. Bagaimana memulakan ayat pertama, menyusun perenggan dan menamatkan penulisan? Jeniri menunjukkan bagaimana kita dapat menganyam pelbagai fakta dan maklumat yang ada, membina tarikan pada fakta yang dibentangkan menggunakan pelbagai pendekatan. Semuanya menuntut kreativiti penulisnya dalam memilih kata yang paling tepat.

Beberapa pedoman perlu dipegang apabila menulis misalnya menulis ayat yang pendek dan mudah dan bukan ayat yang kompleks. Pengalaman membaca amat penting diterapkan apabila kita menulis dan daripada sinilah kita dapat memperlihatkan kekayaan dan kepelbagaian perbendaharaan kata yang kita bina daripada pembacaan yang banyak.

Demikianlah Jeniri menuangkan pengalamannya dalam buku ini. Demi memperbanyak terbitan buku di negara ini, Jeniri menerbitkan buku ini untuk dijadikan pedoman bagi semua bakal penulis.