October 29, 2008

Kuasa buku ubah kehidupan

KITA menjadi lebih kaya dengan membaca banyak buku. Buku yang bernilai dapat merubah kehidupan. Membaca memberi kita peluang berhenti dan bertindak. Ini tidak berlaku semasa menonton televisyen atau filem yang memaksa kita menerima apa saja.

Buku membolehkan kita membentuk sendiri gambaran teks mengikut kehendak kita. Kita boleh berhenti dan menghablurkan konsep yang dibaca, dan merubahnya mengikut tafsiran yang kita mahu. Kita boleh berubah dengan idea yang dapat dikutip daripada buku yang kita baca atau kita boleh juga tidak berubah.

Ada yang percaya buku tidak mungkin mengubah sesiapa. Anda sendiri yang mengubah hidup. Apabila dua orang membaca sebuah buku yang sama, seorang mungkin mendapat ilham manakala yang seorang lagi mungkin bosan membacanya. Kedua-dua mereka mungkin mempelajari perkara yang berbeza daripada buku yang sama.

Buku telah mengubah nasib ramai orang. Dalam buku berjudul You‘ve Got to Read this Book: 55 People Tell the Story of the Book that Changed their Life, kisah mereka yang kehidupannya berubah dengan membaca dapat kita selami. Mereka ini bukanlah orang biasa di Amerika, tetapi daripada pelbagai kedudukan tinggi dan kerjaya yang berbeza daripada politik, perubatan, psikologi, perniagaan, hiburan hinggalah kepada pelbagai cabang seni, sukan dan olahraga. Kepada mereka, ada buku yang baik yang telah memberikan inspirasi, menyembuhkan mereka daripada tekanan hidup dan merubah kehidupan mereka sama sekali.

Tulisan dalam buku ini dicetuskan oleh Jack Canfield dan Gay Hendricks. Siapa yang tidak kenal Jack Canfield, pencipta dan editor siri terkenal Chicken Soup for the Soul yang dianggap oleh majalah TIME sebagai ‘the publishing phenomenon of the decade.’ Siri ini kini mempunyai 105 judul dengan lebih 100 juta naskhah diterbitkan dalam 41 bahasa. Gay Hendricks pula adalah seorang pakar dalam bidang transformasi perhubungan dan penyembuhan tubuh – fikiran. Kedua-dua mereka telah menerbitkan banyak buku yang laris dan dibaca ramai.

Jack memulakan projek buku ini dengan menghimpunkan 25 pakar pelbagai bidang, perunding perniagaan dan penulis di rumahnya. Dalam perbincangan, timbul soal memilih buku yang baik-baik daripada beribu-ribu judul yang terbit saban tahun. Dalam ramai-ramai yang berhimpun itu, ada yang mengakui buku telah merubah kehidupan mereka manakala yang lain mengatakan mereka hanya membaca buku yang dicadangkan oleh orang yang diyakini.

Mereka ini ada yang telah menerbitkan buku best seller, tetapi apa pula buku yang telah merubah kehidupan mereka? Maka mereka saling bercerita tentang buku yang telah merubah kehidupan masing-masing. Kebanyakan buku itu tidak pula dibaca oleh sebahagian mereka yang berkumpul dan banyak juga yang tidak pernah diketahui akan kewujudannya! Maka timbullah idea bagi menghimpunkan buku yang telah merubah kehidupan mereka dalam sebuah buku.

Dr. Stephen Covey, salah seorang yang menulis pengalamannya dalam buku ini bukanlah calang-calang orang. Beliau diiktiraf oleh majalah TIME sebagai salah seorang daripada 25 orang Amerika yang paling berpengaruh. Buku dan karyanya memang dikenali dan dibaca ramai, salah satunya The 7 Habits of Highly Effective People yang terjual 15 juta naskhah dalam 38 bahasa di seluruh dunia. Buku terbarunya berjudul The 8th Habits: From Effectiveness to Greatness.

Dua buku yang telah merubah dan memajukan kehidupan Stephen Covey ialah Man‘s Search for Meaning karya Victor Frankl, dan A Guide for the Perplexed oleh E. F. Schumacher. Frankl mengajarnya membina kuasa memilih dalam apa jua keadaan. Frankl melakukan ini semasa hidup dalam kem tahanan Nazi Jerman yang sarat dengan kezaliman tanpa peri kemanusiaan – dengan penderaan mental, fizikal dan emosi. Pada satu peringkat, tentera Nazi membakar manuskripnya – tulisan tentang kehidupannya. Itulah hartanya yang tidak ternilai harganya.

Frankl tidak berteriak bertanya “Kenapa aku?” atau “Kenapa semua ini terjadi?” tetapi merubahnya menjadi “Apa yang hidup ini mahu daripada aku?” dan menjawabnya terus dengan kata-kata “Tulislah semula, baiki lagi.” Sepuluh tahun kemudian, Stephen Covey membaca A Guide for the Perplexed, yang menjelaskan konsep pemilihan personal pada tahap yang lebih tinggi dan menjadi pendorong besar dalam kehidupannya.

Seorang lagi yang dirakamkan dalam buku ini ialah Jacquelyn Mitchard yang dianggap oleh New York Times sebagai penulis buku paling laris. Novel pertamanya, The Deep End of the Ocean, adalah buku pertama dipilih untuk Oprah‘s Book Club dan kemudian difilemkan dengan lakonan Michelle Pfeiffer. Sewaktu kecil, ibunya membawa pulang apa saja buku untuk bacaannya, termasuk yang belum sesuai untuknya.

Pada usia 12 tahun, ibunya memberinya novel berjudul A Tree Grows in Brooklyn, karya Betty Smith yang kemudian dibacanya sebanyak 11 kali. Francie Nolan, watak utama dalam buku ini, kemudian menjadi idolanya yang membawanya maju dalam kerjayanya sebagai wartawan. Satu tabiat yang sukar dibuangnya ialah, buku ini wajib dibacanya setiap kali ingin menulis sebuah novel yang baru. Kata Jacquelyn Mitchard, tidak ada buku lain lagi yang dapat memberikan inspirasi kepadanya menjadi seorang penulis, seorang manusia, wanita dan ibu.

Kisah Gary Erickson, tuan punya Clif Bar & Co. Syarikat pengeluar makanan tenaga semula jadi dan makanan kaya nutrien juga tak kurang menarik. Beliau mengimbau peristiwa beberapa minit sebelum beliau hampir-hampir menjual Clif Bar kepada syarikat gergasi bertaraf multinasional. Eksekutif syarikat itu sedang menanti beliau menurunkan tandatangannya dalam kontrak yang telah disediakan.

Ramai pakar telah memberitahu rakan kongsinya bahawa Clif Bar tidak mungkin boleh maju lagi dan mereka perlukan modal besar untuk melonjakkan syarikat itu ke kedudukan yang lebih selamat. Cuma syarikat multinasional itu saja yang dapat melakukannya. Dua syarikat saingan mereka pun telah dibeli oleh syarikat multinasional lain. Kalau dijual, dia dan rakan kongsinya masing-masing menerima AS 60 juta dan tak perlu lagi menghadapi dan menenteramkan pekerja. Mereka boleh bersara dan bersenang-senang.

Beberapa minit terakhir itu beliau menjadi resah gelisah. Tertekan. Gary Erickson kemudian semacam dibisikkan kata-kata “Aku tidak patut melakukannya” dan kemudian beliau sedar bahawa “Aku belum menjualnya.” Melalui telefon, Gary Erickson kemudian memberitahu rakan kongsinya bahawa beliau tidak mahu menjual syarikat tersebut. Melihat Gary Erickson dalam keadaan tertekan, Leslie menghulurkan buku The Legacy of Luna karya Julia Butterfly Hill, sebuah autobiografi tentang seorang wanita mencari jalan memberikan sumbangan baktinya kepada dunia.

Demikianlah, buku ini memperkenalkan kita kepada ramai orang yang hebat dan terkenal dalam bidang masing-masing di Amerika yang hidup mereka berubah setelah membaca buku tertentu.

Setidak-tidaknya pembaca boleh mendapat inspirasi daripada pengalaman mereka ini, membaca tulisan mereka dan buku yang pernah mereka baca. Buku memang mempunyai kuasa merubah kehidupan.

October 29, 2008

Langkah kebebasan Mandela

Edisi khas memoir Nelson Mandela diterbitkan baru-baru ini bersempena genap 90 tahun usia beliau pada 18 Julai ini. Tidak ada jalan pintas untuk kebebasan – itulah isi penting yang ingin disampaikan oleh Mandela.

Beliau mula menulis kisah hidupnya ini secara rahsia pada 1974 semasa terpenjara di Robben Island, Cape Town. Ingatannya dicungkil dengan bantuan rakan seperjuangannya Walter Sisulu dan Ahmed Kathhrada.

Manuskrip itu kemudian ditemui oleh pihak berkuasa penjara dan dirampas. Namun, dengan bantuan dua komradnya dalam penjara, Mac Maharaj dan Isu Chiba manuskrip ini dapat diselamatkan. Penulisan memoir ini diteruskan selepas Mandela dibebaskan dari penjara pada 1990.

Nelson Mandela dikenali sebagai tokoh pemimpin moral dan politik masa kini: wira antarabangsa yang mengabadikan perjuangannya terhadap penindasan ras di Afrika Selatan sehingga melayakkannya menerima Hadiah Nobel Keamanan 1993 dan menjadi Presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan selepas pilihan raya umum April 1994.

Dengan latar belakangnya yang dikenali dalam kalangan puak Tembu, Mandela bangkit berjuang dalam dua dunia – budaya tradisi kaumnya, dan kesombongan kulit putih yang menjajah tanah airnya.

Dengan gaya penulisannya yang menarik dan memukau, Mandela menceritakan tentang usia mudanya sebagai pelajar miskin dan kerani syarikat guaman di Johannesburg; tentang penglibatan politiknya yang agak lambat dan peranan penting yang dimainkannya dalam menghidupkan kembali African National Congress – ANC yang tidak bermaya dan penubuhan sayap pemuda ANC pada tahun 1950-an.

Beliau mendedahkan segala kesulitan yang ditempuhinya yang bercampur-baur antara kegiatan politiknya dengan tanggungjawabnya terhadap keluarga yang amat dikasihinya, kepahitan akibat perceraian dalam perkahwinannya dengan Winnie, isteri yang amat menyayanginya bahkan yang memberikan semangat dan kekuatan selama beliau meringkuk dalam penjara; perpisahan dengan anak-anaknya yang amat melukakan hatinya sepanjang mereka dipisahkan oleh penjara.

Mandela mempunyai peluang mengembangkan kerjayanya dalam bidang undang-undang, tetapi menyuburkan kesedaran politik dan kemudian terlibat dan memainkan peranan yang serius dalam menubuhkan sayap pemuda dalam ANC.

Pada awal dekad 1950-an, Mandela memulakan kempen menentang dasar diskriminasi kaum oleh kerajaan Afrika Selatan, dan penentangan secara lembut terhadap dasar aparteid.

GerakanBagaimanapun, berikutan peristiwa pembunuhan beramai-ramai Sharpville pada 1960 – pendekatannya berubah, dan terpaksa melibatkan diri dalam gerakan bawah tanah bagi mengelak daripada ditangkap selepas ANC diharamkan.

Pembunuhan di Sharpeville mengusutkan pemikiran Mandela. Beliau mencari jalan lain dalam tindakannya yang anti keganasan, bertujuan menghalang kekacauan dan ketidakstabilan.

Sebahagian besar hidupnya dilalui dengan hak asasi dan kebebasan politiknya ‘terpenjara’ dalam sistem yang menindas dan zalim. Sewaktu baru menempuh usia dewasa, Mandela telah disumbat ke penjara pada 1952 kerana dikatakan terlibat menentang regim kulit putih.

Apabila dibebaskan, Mandela kembali memimpin bangsanya merangka Piagam Kebebasan 1955, yang menggaris prinsip utama perjuangannya dalam meraih kebebasan tanpa kekerasan dan menjamin hak individu. “Nyawa itu murah, pistol dan pisau berkuasa di malam hari,” kenang Nelson Mandela dalam Long Walk to Freedom. Setahun kemudian, beliau ditahan lagi bersama 156 aktivis anti-aparteid.

Bulan Mac 1961 menandakan fasa yang lebih menekan dalam hidupnya, kesemua mereka didapati bersalah, Perdana Menteri Henderick F. Verwoerd yang memperkenalkan dan mengasaskan dasar aparteid semakin angkuh dan mencengkam.

Semasa tertekan itulah Mandela sebaliknya memperlihatkan bentuk penentangan yang anti kekerasan sehinggakan beliau disumbat kembali ke sel mulai 1962.

Pada 1964, dalam sebuah perbicaraan yang dikenali sebagai Rivonia Trial, beliau dihukum penjara seumur hidup atas tuduhan mengkhianat, menghasut dan melakukan pakatan keganasan terhadap rejim Afrika Selatan. Beliau menghabiskan masa selama 27 tahun dalam penjara terutamanya di penjara terkenal di Robben Island.

Sungguhpun terpenjara, Mandela menjadi ikon bangsanya dengan menyuntik semangat penentangan hebat kaum kulit hitam terhadap rejim pemerintahan kulit putih yang akhirnya terpaksa tunduk dan mengalah. Tamatnya rejim aparteid ditandai dengan bebasnya Mandela pada Februari 1990. Era baru pemerintahan kulit hitam mula memberi peluang Mandela berkempen dan bertanding sebagai calon Presiden. Penahanannya yang cukup lama dan menyiksakan itu tidak pula merubah sikapnya menjadi pendendam selepas dibebaskan. Bahkan Mandela tetap teguh berdiri atas komitmen moral dan politik.

Sejak pembebasannya pada Februari 1990, Mandela telah diangkat sebagai pemimpin moral yang paling berpengaruh di dunia selepas Mahatma Gandhi. Sebagai Presiden ANC dan pemimpin perjuangan anti-aparteid beliau berjaya mengembalikan pemerintahan Afrika Selatan ke tangan orang kulit hitam.

Mandela akan dikenang sebagai kuasa yang paling berpengaruh dalam perjuangan menegakkan hak asasi manusia dan penyamarataan kaum.

Suku abad kebebasannya dirampas apabila dirinya disumbat ke dalam penjara dan beliau tetap tampil sebagai pejuang kebebasan, bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk seluruh bangsa kulit hitam Afrika Selatan.

Meskipun disiksa tanpa perikemanusiaan selama terpenjara, namun ia tampil sebagai manusia pemaaf, sekalipun terhadap lawan dan musuh politiknya. Inilah pesanan moral yang harus kita teladani dan insafi.

Di hadapan khalayak yang pelbagai lapisan rakyat, beliau melaungkan; “Saya terus mengingatkan kepada rakyat semua bahawa perjuangan kita untuk pembebasan bukanlah sama sekali perjuangan untuk satu kelompok atau warna kulit, tetapi perjuangan murni melawan sistem yang menindas.”

Demikianlah memoir Mandela yang memberikan teladan moral amat berharga buat kita semua. Nelson Mandela: Long Walk to Freedom sesungguhnya adalah sebuah memoir yang menyentuh emosi, bertenaga dan memberikan inspirasi daripada tangan seorang tokoh yang dilahirkan oleh bangsa kulit hitam.

October 29, 2008

Surat-menyurat Mahathir

SURAT sering saja dibukukan dan menjadi bahan yang menarik untuk dibaca. Di negara lain selalu terbit koleksi surat yang membongkar pelbagai rahsia di belakang tabir diri penulisnya. Di Indonesia kita per- nah membaca koleksi surat Kartini dan H.B. Jassin dan antara yang terbaru adalah Surat-surat Suharto. Buku yang memuat Surat-surat Maryam Jameelah – Al-Maududi juga agak terkenal.

Di negara kita, sesekali terbit koleksi surat misalnya Warkah Eropah oleh A. Samad Said, Surat-surat Tun Seri Lanang kepada Baha Zain atau kumpulan warkah sultan dan Raja Melayu yang pernah dibukukan oleh pustakawan British Library, Annabel Gallops.

Terbaru, kita dapat membaca surat-surat Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada pemimpin dunia selama lebih dua puluh tahun beliau menjadi Perdana Menteri. Surat yang dihimpunkan oleh Abdullah Ahmad ini mengandungi 71 pucuk surat kesemuanya, dalam buku berjudul Dr. Mahathir’s Selected Letters to World Leaders.

Pada asalnya, menurut Dr. Mahathir, beliau menghimpunkan sejumlah 200 pucuk surat yang pada perkiraannya penting dan bermanfaat untuk dibaca oleh rakyat negara ini. Surat-surat ini, menurut Dr. Mahathir mungkin menarik minat orang awam, kerana dapat memberikan gambaran tentang pelbagai perubahan dasar luar negara ini serta daya usaha yang dilakukan oleh Malaysia bagi pihak mereka yang tidak bernasib baik sama ada di Asia mahu pun di Eropah.

Kerajaan nampaknya tidak bersetuju dengan kesemua 200 surat yang dipilih oleh Dr. Mahathir dan hanya meluluskan 84 pucuk untuk diterbitkan. Tiga belas pucuk surat pula ditolak oleh penerbit kerana menganggapnya kurang penting dan tidak berkaitan. Walau bagaimanapun, 71 surat dalam buku ini sedikit sebanyak dapat menggambarkan sepotong daripada sejarah diplomatik dan hubungan antarabangsa Malayia yang panjang itu.

Surat-surat ini tidaklah dapat meliputi bidang yang besar dan cuma menyentuh soal keganasan, globalisasi, perang dan konflik sempadan, ekonomi dan hubungan diplomatik. Antara pemimpin dunia yang surat mereka dimuatkan ke dalam buku ini ialah Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dan Bill Clinton, Presiden Perancis Jacques Chirac, Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher dan Tony Blair serta Putera Charles.

Meneliti surat menyurat yang dimuatkan, nyatalah Dr. Mahathir agak serius mengambil bahagian dalam soal peperangan dan penindasan yang berlaku di mana sahaja. Beliau ternyata berusaha menyuarakan pandangan masyarakat dunia ketiga dan negara Islam khususnya semasa peperangan yang melibatkan sengketa puak Bosnia dan Serbs sehinggalah masyarakat antarabangsa campur tangan dan terbentuknya Bosnia-Herzegovina.

Dr. Mahathir merakamkan penghargaannya terhadap peranan yang dimainkan oleh Bill Clinton yang mendesak NATO bertindak lebih agresif dalam menghadapi Rusia tentang soal ini.

Keganasan dan pengganas adalah satu lagi perkara yang nampaknya diambil berat oleh Dr. Mahathir sewaktu pentadbiran beliau. Bagi Dr Mahathir, keganasan sering menjadi penghalang kepada proses perdamaian. Kita dapat membendung keganasan kalau pun tidak dapat membanterasnya seratus peratus.

KeganasanPunca sebenar keganasan mestilah difahami jika kita mahu mengurangkan kegiatan keganasan. Pengeboman dan pembunuhan orang tidak berdosa oleh siapa juga mestilah dilihat sebagai keganasan. Pihak yang melakukannya mesti dianggap sebagai pengganas dan bukan cuma pengebom berani mati. Jika kita mahu pengebom berani mati menghentikan serangan mereka, kita juga mestilah berusaha memberhentikan pembunuhan orang yang tidak berdosa yang dilakukan secara terancang oleh sesebuah negara.

Satu lagi isu yang mendapat tempat dalam koleksi surat ini ialah soal globalisasi yang pada hemat Dr. Mahathir dilahirkan oleh golongan kaya demi manfaat mereka yang kaya juga. Golongan miskin mungkin mendapat sedikit manfaat tetapi harus pula membayar harga yang mahal bagi mengecapi nikmat globalisasi. Dr. Mahathir mengutarakan persoalan apakah mungkin diwujudkan suatu model globalisasi yang dapat dimanfaatkan oleh semua pihak sama ada yang kaya mahupun yang miskin atau setidak-tidaknya sebuah model yang dapat dimanfaatkan oleh semua golongan dengan lebih saksama.

Kepada Dr. Mahathir, perang berlaku dengan membunuh manusia demi mencapai kehendak negara yang melancarkan perang. Alasan palsu digunakan bagi menghalalkan perang.

Namun bagi Dr. Mahathir, perang bukan lagi sesuatu pilihan terbaik buat kuasa besar. Sebuah negara lemah mungkin dapat ditumbangkan, namun rakyat akan tetap bangkit dan meneruskan perjuangan bagi mendapatkan pembebasan daripada negara yang datang menjajah. Inilah yang sedang berlaku di Afghanistan dan Iraq dan mungkin juga di Iran.

Surat-surat ini sedikit sebanyak memperlihatkan sikap Dr. Mahathir terhadap pemimpin dunia. Beliau memuji Bill Clinton yang dianggapnya lebih bersikap diplomatik berbanding Naib Presiden Al Gore yang menghadiri persidangan APEC 1998 dan memalukan negara tuan rumah. Dr. Mahathir dalam prolog buku ini terus terang mengakui akan kegembiraannya dengan tewasnya Al Gore dalam pilihan raya 2000. Malangnya, calon yang menang, menurut Dr. Mahathir lebih buruk lagi!

Presiden Bush pula bersikap menolak ke- benaran meskipun terdapat bukti yang jelas dan kukuh khususnya dalam kes senjata pemusnah besar-besaran yang didakwanya dimiliki Iraq sewaktu pentadbiran Sadam Hussein.

Sungguhpun hubungan Malaysia – Britain semasa pentadbiran Margaret Thatcher diselubungi mendung hitam dengan Dasar Pandang ke Timur dan Buy British Last, namun Dr. Mahathir mengakui bahawa beliau mempunyai hubungan kerja yang rapat dan baik dengan pemimpin wanita Britain itu.

Rakyat Malaysia, menurut Dr. Mahathir, mesti ingat bahawa Margaret Thatcher terbang ke negara ini tiga kali semasa pentadbirannya. Tidak ada mana-mana Perdana Menteri Britain melakukan hal yang sama selain Thatcher. Tony Blair mendiami 10 Downing Street selama 10 tahun tetapi tidak pernah sekali pun beliau menjejakkan kakinya ke sini.

Hubungan Dr. Mahathir dengan Presiden Jacques Chirac juga agak rapat dan Dr. Mahathir mengimbau kenangan layanan baik pemimpin Perancis itu dalam kunjungannya ke Perancis dalam bulan Ramadhan dan disajikan juadah berbuka lengkap dengan buah kurma.

Kepada Dr. Mahathir, surat-menyurat ini memberi gambaran tentang kekecewaan hati seorang pemimpin bagi sebuah negara yang kecil. Beliau tidak peduli itu semua, kerana tidak ada orang lain yang nampaknya mahu menegur kuasa besar akan keburukan yang sedang mereka lakukan. Dengan kemungkinan dirinya dipencilkan atau dikecam, beliau menulis surat-surat ini agar suara manusia kerdil tidak terus-terusan dipekakkan. Apa yang orang lain fikirkan tentang apa yang diperkatakannya tidaklah penting sangat.

Sesungguhnya koleksi surat menyurat Dr. Mahathir ini menarik dibaca oleh kita semua. Seperti diakui oleh Dr. Mahathir, “Anda mungkin tidak bersetuju dengan setiap apa yang saya lakukan, tetapi saya lakukan apa yang saya fikir baik untuk negara ini. Sama ada saya seorang Perdana Menteri yang baik atau buruk, tentulah bukan saya yang boleh menyatakannya. Apabila saya mati dan tiada lagi, pertimbangan (terhadap saya) akan menjadi lebih tepat.

October 29, 2008

Keyakinan terhadap Islam

Sejak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menarik balik pengharaman buku A History of God oleh Karen Armstrong baru-baru ini, naskhahnya telah mula masuk ke kedai buku tempatan. Buku terbitan 1993 ini memang sebuah perbincangan yang menarik tetapi selama ini pembaca di negara ini tidak berpeluang menelaahnya.

Banyak persoalan berlegar dalam kepala apabila kita memikirkan tentang tuhan. Perbincangan tentang tuhan memang sesuatu yang sentiasa segar kepada manusia sebagai salah satu makhluk ciptaan-Nya.

Tidak pernah henti-henti manusia memperkukuh konsep ketuhanan sejak empat ribu tahun lalu. Maka, seringkali muncul gerakan yang dilihat liberal dan anarki demi mempertahankan keyakinan mereka tentang tuhan. Secara keseluruhan, buku ini mencabar secara intelektual tentang “Sejarah Tuhan” kisah pencarian tuhan yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi, Kristian, dan Islam selama 4,000 tahun.

Buku ini mengajak pembaca melihat soal ketuhanan dari aspek sejarah. Dalam mana-mana zaman, pandangan manusia terhadap tuhan memang sentiasa berbeza. Pengarang dalam buku ini membincangkan tiga agama besar dari langit, iaitu Yahudi, Kristian dan Islam.

Karen Armstrong, penulis buku ini memberi gambaran akan kekecewaannya sebagai paderi Katolik Rom dalam memahami sifat tuhan secara subjektif. Bagi beliau, gagasan manusia tentang tuhan mempunyai sejarah yang berbeza antara generasi yang berbeza dan ada kalanya saling tidak kena antara satu sama lain.

Armstrong memulakan perbincangannya dengan menghuraikan beberapa teori dan pemikiran yang membawa kepada kemunculan gagasan tentang ketuhanan. Beliau memetik beberapa pandangan pemikir terkemuka dunia seperti Mircea Eliade, Wilhelm Schmidt atau Rudolf Otto yang merumuskan bahawa manusia memang cenderung memiliki kepercayaan terhadap yang ghaib dan yang mendasari setiap agama. Kepercayaan terhadap dewa misalnya merupakan contoh dari monoteisme primitif yang percaya akan hakikat wujudnya ‘Tuhan’ yang menciptakan dan mengatur urusan dunia.

Setiap konsep tentang Tuhan yang dikemukakan pada setiap zaman atau dari kelompok yang berbeza – mistik, teologi, falsafah, saintis, dan sebagainya – memang jelas tidak sepenuhnya rasional, logik, dan ilmiah. Setiap gagasan tentang Tuhan sebenarnya tidak mutlak, kerana semuanya melibatkan penafsiran manusia. Pandangan tentang ketuhanan memang selalu bersifat pragmatis. Muhammad misalnya, Nabi orang Islam bertolak dari sebuah konsep dakwah yang pada awalnya cukup sederhana, tanpa menunjukkan bahawa dirinya sedang mengembangkan sebuah agama universal (konsep Tuhan yang universal).

Pada sekitar abad ke-17, mula muncul gagasan yang antituhan dan berusaha menyingkirkan Tuhan dan kehidupan beragama dari kehidupan manusia. Era ini tidak hanya dialami masyarakat Barat (Yahudi dan Kristan), tapi juga dialami kaum Muslim. Armstrong dalam buku ini memberikan suatu paparan menarik bahawa pada dasarnya sikap antituhan itu muncul akibat lemahnya pemahaman tentang tuhan dalam mengikuti peredaran zaman. Atheisme, menurut Armstrong muncul akibat merebaknya perbuatan zalim (pembunuhan dan perang) yang dilakukan atas nama tuhan.

Dalam melangkah ke milenium ketiga, konsep ketuhanan berdepan dengan pelbagai pemikiran sekularisme atau kemanusiaan yang ingin menggantikan agama. Buku ini mengajak kita untuk mengukuhkan kembali iman kita dan pemahaman serta penghayatan kita terhadap Tuhan, menuju suatu keinsafan bahawa “sosok” Tuhan itu dapat ditangkap dengan spektrum yang amat luas.

Amstrong turut membincangkan pelbagai falsafah, mistik dan pembaharuan tentang tiga agama itu secara mendalam. Dalam buku ini Amstrong menyajikan tema yang luas dan kompleks yang dihuraikan dengan menarik dalam bab yang menarik misalnya Tuhan Yang Satu, Cahaya bagi Kaum bukan Yahudi, Triniti: Tuhan Kristian, Keesaan: Tuhan Islam, Tuhan Para Falsafah, Tuhan Kaum Mistik, Tuhan bagi Para reformis, Pencerahan, Kematian Tuhan? dan Adakah Masa Depan Bagi Tuhan?

Pembaca dihadapkan dengan banyak perkara baru. Anda juga mungkin boleh disebut dengan sesuatu yang bertentangan dengan diri anda, seperti pada bahagian ‘Pada Mulanya’, yang dimulakan dengan teori bahawa manusia menciptakan satu tuhan yang merupakan penyebab pertama bagi segala sesuatu dan penguasa langit dan bumi. Armstrong juga menyentuh tentang teori yang diutarakan oleh Wilhelm Schmidt dalam The Origin of the Idea of God, yang menyatakan bahawa telah ada monoteisme primitif sebelum manusia mula menyembah banyak dewa.

Dalam bab tentang Keesaan: Tuhan Islam, Amstrong menulis tentang keyakinannya terhadap agama Muhammad SAW yang dikenal dengan nama Islam. Islam bermaksud bahawa kaum Muslim wajib melahirkan masyarakat yang adil dan setara dengan keadaan orang miskin dan lemah diperlakukan setara, selain juga tegas dalam membincangkan soal ketuhanan.

October 29, 2008

Mimpi Obama pada ayahnya

Memoir berjudul Dreams from My Father: A Story of Race and Inheritance adalah sebuah lagi kisah perjalanan mencari akar kehidupan. Watak utamanya, Barack Obama, calon Presiden Amerika Syarikat yang sudah amat hampir ke tangga White House.

Memoir ini ditulis selepas beliau lulus daripada Havard Law School dan berupa salah satu daripada sekian banyak memoir yang ditulis dalam mencari akar dan jati diri keluarga. Obama dalam memoir ini mencari keluarga dan masyarakatnya, dan beliau menemui semuanya di luar daripada jangkaan awalnya.

Setelah Obama terpilih sebagai Presiden Harvard Law Review yang pertama daripada kalangan orang kulit hitam, beliau ditawarkan kontrak menulis memoirnya yang menarik dan menyentuh setiap pembaca.

Obama adalah anak Amerika yang lahir pada tahun 1961 hasil perkahwinan ibunya, seorang wanita kulit putih Amerika dengan mahasiswa kulit hitam dari Kenya.

Setelah berpindah dari Kansas, Obama kemudian dibesarkan di Hawaii oleh ibunya. Ayahnya adalah salah seorang mahasiswa dalam program pertukaran pelajar dari Afrika dan datang menuntut di Universiti Hawaii. Pada usia dua tahun, ayahnya meninggalkannya untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Havard.

Tetapi ayahnya hanya pulang seketika semasa Obama berusia sepuluh tahun. Obama tidak sempat mengecap kasih sayang ayahnya. Sejak itu, mimpi Obama kepada ayahnya bermula.

Obama kemudian menghabiskan masanya beberapa tahun di Indonesia bersama bapa tirinya. Kemudian beliau dibesarkan pula oleh datuk dan neneknya ketika ibunya meneruskan penyelidikan lepas ijazah.

Suasana pembesaran Obama menjadi remaja tidaklah seceria yang dirasai oleh remaja lain yang mempunyai latar belakang keluarga yang teguh. Beliau bahkan tercari-cari akan identiti dirinya yang sebenar. Dalam suasana yang tertekan itulah Obama meneruskan kehidupan mudanya.

Selepas tamat pengajian, Obama melibatkan dirinya dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan di Chicago. Perlahan-lahan beliau menempatkan dirinya dalam hati masyarakat dan usahanya itu agak mudah memandangkan beliau ketika itu sudah pun menjadi seorang peguam hak asasi awam.

Tambahan pula, ketika itu Chicago baru memilih Harold Washington, orang kulit hitam pertama sebagai Datuk Bandar.

Obama baru mula melebarkan landskap politiknya. Pertembungan pelbagai idealisme, ketajaman politik dan hubungan peribadi menjadi ramuan awal politik Obama yang cukup serasi.

Dengan formula itulah Obama melancarkan program pembersihan kawasan perumahan, latihan pekerjaan, program kejiranan dan tunjuk ajar untuk kanak-kanak sekolah. Strategi itu cukup berkesan bagi seorang ahli politik dan peguam muda.

Sebelum belajar undang-undang, Obama sempat singgah ke Kenya, sedangkan ayahnya sudah pun meninggal dunia. Beliau baru mengenali Kenya, tanah leluhurnya yang mempunyai empat puluh suku kaum yang hampir sama antara satu dengan yang lain.

Obama baru mengenali akar keluarganya persis sebagaimana yang digambarkan oleh pengarang Alex Haley’s dalam novel terkenal Roots.

Barulah dia sedar akan latar belakang ayahnya yang lebih kompleks dan tidak sesempurna sebagaimana beliau bayangkan. Beliau berdepan dengan tanggungjawab dan beban akan keluarga dan darah dagingnya.

Beliau juga semakin merasakan akan kehilangan ayahnya. Tetapi di Kenya beliau semacam menemui sumber kasih sayang dan sesuatu yang mengikat yang sukar digambarkannya. Dalam memoirnya terutama pada bahagian ini, Obama meninggalkan banyak persoalan yang tidak berjawab.

Ayahnya Barack, telah beristeri dan mempunyai anak sebelum tiba di Hawaii. Bahkan, Barack menemui wanita ketiga dalam hidupnya ketika melanjutkan pengajiannya di Havard.

Isteri ketiganya ini mengikutnya pulang ke Afrika dan meneruskan hidup dalam keluarga Barack yang besar.

Barack seorang yang pintar dan bercita-cita tinggi, dan pada awalnya seorang yang berjaya. Akan tetapi kerana sikapnya yang lurus, beliau diperdaya oleh pemerintah. Beliau kemudian hilang pekerjaan dan jatuh bankrap.

Barack menjadi pemabuk dan berkhayalkan kekayaan yang maya sedangkan anak-anaknya yang ramai masing-masing membesar sendirian.

Dalam pencariannya di Kenya, Obama berjaya menemui keluarga asalnya yang penyayang dan ramah-tamah tetapi dibaluti pelbagai masalah – keluarga yang berantakan, penagihan arak dan dihimpit kemiskinan.

Neneknya bercerita tentang datuknya; Hossein Onyango, seorang peladang yang kaya-raya dan taat kepada orang kulit putih tetapi bengis kepada semua isteri dan anak-anaknya.

Obama dalam Dreams from My Father: A Story of Race and Inheritance ini ditampilkan sebagai seorang lelaki yang berbakat besar, kompleks, bijaksana dan mempesona setiap orang yang melihatnya.

Kepetahannya berpidato semasa berkempen baru-baru ini saling tak tumpah sebagaimana yang digambarkan dalam bukunya dengan tulisannya yang mengalir dan segar.

Memoir ini sedikit sebanyak memperlihatkan ciri-ciri sebuah biografi yang diterbitkan untuk tujuan berkempen, ditulis dengan cermat, merendah diri, berstrategi dan sudah tentu amat tepat pada masanya. Nampaknya, Obama berjaya dalam strateginya.

Sejajar dengan judulnya, Obama dalam memoir ini nampaknya kurang bercerita tentang ibunya dan pengaruh keluarga di sebelah ibunya itu. Memoir ini lebih menjurus kepada ‘mimpi’ Obama kepada ayahnya.

Obama atau nama jolokan yang sering melekat pada dirinya “Budak lelaki kurus dengan nama yang lucu” ini sudah membesar dan semakin bijak. Memang jika dilihat pada sosok tubuh dan raut wajahnya, Obama lebih banyak memiliki ciri ayahnya, seorang Afrika berkulit hitam.

Memoir ini akan menjadi lebih seimbang sekiranya Obama memberikan lebih penekanan kepada keluarga sebelah ibunya.

October 29, 2008

Mengenali buku, pengarang terlaris sepanjang zaman

AL-Quran dan Injil adalah dua kitab paling banyak dibaca oleh manusia zaman berzaman. Kitab Injil yang mula diterbitkan pada sekitar 1451 sampai kini dianggarkan telah dicetak sebanyak enam bilion naskhah. Tidak ada sesiapapun yang mengetahui berapa jumlah al-Quran atau Injil yang dicetak, terjual atau yang dibahagi-bahagikan. The Bible Society menganggarkan jumlah Injil yang dicetak antara 1816-1975 sekitar 2.5 bilion naskhah. Kajian terbaru menunjukkan angka ini mencecah 6 bilion naskhah dalam lebih dua ribu bahasa dan dialek.

Di Kota Mekah sahaja, sejak berabad-abad lamanya al-Quran terjual berjuta-juta naskhah pada setiap musim haji. Mekah dikunjungi sepanjang masa dalam setahun oleh orang Islam yang menunaikan Umrah. Jika diambil kira jualan dan edarannya di seluruh dunia Islam jumlah cetakannya pada bila-bila masa boleh mengatasi angka cetakan dan edaran Injil.

Apakah buku terlaris tulisan manusia dalam rekod peradaban manusia sejak dulu sampai sekarang? Buku bagaimana yang digilai pembaca dan peminat buku? Berapakah jumlah cetakannya? Siapakah penulis atau penerbit buku-buku ini.

Soalan-soalan ini pada asasnya sukar dijawab. Siapa pun tidak mengetahui dengan tepat buku mana yang paling laris dijual kerana kita tidak mempunyai rekod tentang buku yang meliputi semua zaman. Jawapan yang ada cumalah tekaan terbaik berdasarkan anggaran oleh ahli sejarah dan pakar perbukuan dan penerbitan.

Quotations from Chairman Mao direkodkan telah diterbitkan sebanyak 900 juta naskhah sejak mula diterbitkan empat dekad lalu pada 1966. Ini adalah sebuah buku buah fikiran manusia yang tertinggi jualannya setakat ini. Buku yang dikenal juga dengan nama Little Red Book ini menyimpan ungkapan Mao Tse Tung, pemimpin Komunis China dan menjadi buku yang wajib dimiliki dan dibaca oleh setiap orang dewasa di China antara 1966-1971.

Buku The American Spelling Book mencecah angka 90 juta naskhah. Mula terbit pada 1783, buku teks pendidikan oleh Noah Webster (1758-1843), iaitu penulis yang terkenal dengan jolokan The American man of letters ini kekal sebagai buku terlaris di Amerika Syarikat sepanjang abad ke-19.

Buku tentang fakta dan maklumat juga sering digilai oleh pembaca buku. Justeru, pada tangga berikutnya adalah buku Guiness Book of World Records oleh Mark C. Young yang mencecah angka cetakan 90 juta naskhah. Mula terbit pada 1955, The Guinness Book of Records muncul sebagai pencapaian terbesar dalam bidang penerbitan mutakhir. Buku ini terbit secara tahunan mulai 1964 dan di UK sahaja telah terbit 37 edisi selain pelbagai edisi bahasa asing.

Demikian juga buku World Almanac yang dicetak sehingga 73.5 juta naskhah. Buku rujukan penting bagi penulis dan wartawan ini mulai terbit secara tahunan pada 1868. Buku ini bagaimanapun terhenti penerbitannya antara 1876-1886. Akan tetapi buku ini kekal sebagai buku rujukan tahunan terlaris sampai sekarang.

Tulisan Elbert Hubbard berjudul A Message to Garcia dicetak 40 juta naskhah. Buku yang pernah menjadi polemik ini berkisar pada isu hubungan buruh dan dalam beberapa tahun sejak mula diterbitkan pada 1899 telah mencecah angka jualan yang besar disebabkan ramai majikan di Amerika yang membelinya dalam jumlah yang besar untuk dibahagi-bahagikan kepada pekerja mereka.

Novel berjudul The Valley of the Dolls tulisan Jacqueline Susann (19211974) mungkin dapat dianggap sebagai novel terlaris dunia. Terbitan 1966 ini berkisar tentang seks, keganasan dan dadah. Saingan terdekat novel ini adalah tulisan Margaret Mitchell, iaitu sebuah novel yang berjudul Gone With the Wind, yang mencecah 28 juta naskhah. Banyak novel lain yang mencapai angka 10 juta naskhah. Di Sepanyol, novel oleh Unamuno berjudul El rbol de la ciencia menjadi novel terlaris sejak mula diterbitkan.

Siapakah pula penulis buku terlaris dunia sepanjang zaman? Menurut Guinness World Records pengarang buku fiksyen terlaris adalah Agatha Christie yang mencatatkan jualan dua bilion naskah bagi jumlah keseluruhan judul buku tulisan beliau.

Penulis buku kanak-kanak juga telah mencatatkan pencapaian yang besar. Ren Goscinny dan Albert Uderzo menghasilkan watak komik Ast rix the Gaul pada 1959. Mereka menerbitkan 30 judul buku dengan jualan mencecah 25 juta naskhah. Georges R. (1907-1983), penulis dan ilustrator dari Belgium yang memakai nama pena Herg, menghasilkan watak komik Tintin pada 1929. Tintin muncul dalam bentuk buku mulai tahun 1948 dan menjadi popular di seluruh dunia sehingga diterjemahkan ke dalam 45 bahasa dan dialek. Jumlah jualan dan edaran tidak kurang daripada 160 juta naskhah.

Seorang lagi penulis buku kanak-kanak yang kaya raya dengan jualan bukunya ialah Enid Blyton. Jualan buku Noddy sahaja mencecah lebih 60 juta naskhah dan lebih 700 buku kanak-kanak yang dihasilkannya. UNESCO menganggarkan pada tahun 1960-an sahaja buku beliau mencecah 974 judul terjemahan. Jumlah keseluruhan cetakan buku beliau mencecah 100 juta naskhah dan menjadikan Enid Blyton sebagai penulis buku terlaris dalam bahasa Inggeris.

Jumlah jualan dua buku klasik oleh Lewis Carroll iaitu Alice’s Adventures in Wonderland dan Alice Through the Looking Glass, tidak terkira banyaknya. Bagaimanapun, dengan dua buku ini sahaja telah berjaya meletakkan nama beliau dalam kalangan 20 buku kanak-kanak terlaris sepanjang zaman.

Buku terlaris kanak-kanak yang lain termasuklah The Poky Little Puppy yang menduduki tangga teratas dalam senarai buku kulit keras dengan jualan mencecah 14,898,341 naskhah manakala buku berjudul Charlotte’s Web yang mencapai jualan 9,899,696 naskhah mengungguli tangga teratas buku kulit nipis.

Mendahului senarai buku mutakhir yang terlaris adalah The Seven Habits of Highly Effective People yang mencatatkan jualan 1.5 juta naskhah. Demikianlah, buku akan kekal menjadi teman sejati bagi setiap manusia yang cintakan ilmu. Buku menjadi cermin diri yang membentuk citra seorang manusia melalui pembacaan.

October 29, 2008

Sejarah penerbit buku tertua di dunia

CAMBRIDGE University Press yang ditubuhkan atas perkenan King Henry VIII pada 1584 dianggap sebagai penerbit buku tertua di dunia pada masa ini. Sejak mula ditubuhkan, penerbit yang lebih dikenali sebagai CUP itu bukan sahaja melalui pengalaman penerbitan, bahkan juga pelbagai krisis dan perubahan termasuklah kebangkitan Richard Bentley pada 1690- an, zaman pembaharuan Victoria, kemunculan pelbagai penerbit universiti yang menjadi saingannya, dua perang dunia, krisis tahun 70-an yang ditamatkan oleh Ketua Eksekutif CUP, Geoffrey Cass.

CUP sentiasa dipandang sebagai penerbit universiti yang istimewa selain Oxford University Press. Sejak ditubuhkan pada 1584 dan menerbitkan sekurang-kurangnya satu judul setahun selepas itu, telah menjadikan CUP sebagai penerbit dan pencetak buku paling tua di dunia. Tujuan penubuhannya kini adalah bagi memperkukuh pengajaran dan pembelajaran, mengembangkan ilmu pengetahuan, dan merancakkan penyebaran hasil penyelidikan.

Namun demikian, pada era awal penubuhannya, CUP belum begitu serius dalam penerbitan buku tetapi lebih banyak berfungsi sebagai pencetak khususnya dalam mencetak Bible dan khutbah. Bahkan, sebahagian besar daripada sejarahnya CUP lebih berperanan sebagai pencetak, bukan sebagai sebuah penerbit seperti pada hari ini.

Jadi agak lama juga CUP tidak terlibat sangat dengan kegiatan kesarjanaan. Kerana itulah terbitan CUP pada zaman awalnya tidaklah sangat membanggakan sama ada dari segi pembangunan judul, jumlah judul mahupun mutu terbitan. Salah satu contoh kegagalan peringkat awal CUP ialah penerbitan tiga volum buku Byzantine Suidas pada 1705 yang mana naskhah terakhirnya masih tidak dapat dijual sehinggalah pada tahun 1752.

Pada tahun 1717 pula, CUP hanya menerbitkan dua set khutbah sahaja manakala pada 1729-30 pula cuma enam judul buku yang diterbitkannya. Pada sekitar 1870-an, barulah CUP berubah menjadi penerbit buku yang tulen baik dari segi kedudukannya di peringkat antarabangsa mahupun jangkauan subjek yang diterbitkannya.

Apabila mula berubah menjadi penerbit universiti, CUP berdepan pula dengan pelbagai kerenah pentadbir dan ahli akademik di fakulti. Keadaannya sama saja dengan apa yang dihadapai oleh penerbit universiti di dunia ketiga pada hari ini. Namun dengan perubahan waktu, CUP berjaya membina identitinya sebagai penerbit universiti yang disegani.

Beberapa judul CUP yang dianggap besar dan berjaya dalam sejarahnya yang panjang itu termasuklah Bible Baskerville (1763), Codex Bezae (1793) dan Globe Shakespeare (1864). Judul-judul ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Judul pertama kerana teknik persembahannya yang indah dan menarik; judul kedua kerana memenuhi keperluan kesarjanaan ketika itu dan judul ketiga kerana kelarisannya. London sentiasa menjadi faktor terbaik bagi pasaran buku yang besar. Inilah salah satu faktor utama kejayaan CUP.

CUP mula aktif dalam pemasaran selepas tahun 1870-an. Pada 1872, penjualan Bible, buku khutbah dan doa mencatat jualan sebanyak hanya 58 pound sterling dan buku selain Bible dan khutbah sebanyak 242 pound sterling. Ini bermakna selepas tiga ratus tahun penubuhannya CUP masih lagi hanya sebuah pencetak. Kuliah oleh Seeley berjudul The Expansion of England (1883) sungguhpun dicetak oleh CUP tetapi diterbitkan oleh Macmillan, sebuah penerbit lain yang terkemuka di London.

Perubahan besar CUP bermula dengan terbitnya Cambridge Modern History, English Hisorical Review, Cambridge Medieval History dan Cambridge History of English Literature. CUP kemudian menerbitkan karya Russell dan Whitehead berjudul Principia Mathematica (1910-13) tetapi CUP tidak membayar royalti kepada penulisnya selama hampir empat puluh tahun. Ini bermakna, tradisi yang sebenar belum tumbuh di CUP.

Pada awal abad ke-20, CUP mula rancak menerbitkan buku-buku tentang tanah jajahan British dan muncullah Cambridge History of India (1922) dan Cambridge History of the British Empire (1927). Pada 1941, CUP menerbitkan karya Sir Ernest Baker berjudul The Ideas and Ideals of the British Empire dalam siri ‘Current Problems’.

Buku-buku CUP kemudian memperlihatkan sambutan baik pembaca dengan jualan yang besar misalnya buku sains karya Sir James Jeans berjudul The Mysterious Universe (1930) yang mencatatkan jualan 100 ribu naskhah. Karya Sir Charles Sherrington berjudul Man on His Nature (1951) pula dapatlah dianggap sebagai salah satu buku terbaik dan terhebat pernah diterbitkan oleh CUP. Pada ketika itu, kedudukan CUP sudah mula diterima sebagai penerbit universiti yang terbaik.

Hakikat ini terbukti apabila pengarang terkemuka Ivor Jennings, sarjana dari London School of Economics menawarkan supaya bukunya Cabinet Government diterbitkan oleh CUP sungguhpun penerbit Allen & Unwinn lebih awal berminat untuk menerbitkannya.

Pada hari ini, CUP menjadi penerbit bagi buku ilmiah dan buku pendidikan, sebuah pencetak, selain juga menjadi pencetak bagi dokumen rasmi untuk University of Cambridge.

CUP kini adalah sebuah organisasi global dengan struktur serantaunya berada di Amerika, United Kingdom, Eropah, Timur tengah dan Asia Pasifik. CUP kini berada di bandar raya besar seperti New York, Melbourne, Madrid, Cape Town, São Paulo dan Singapura, selain mempunyai pejabat dan ejen di 30 buah negara negara lain.

Terbitan CUP disasarkan untuk pasaran dunia, dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke ijazah lanjutan dan pembaca profesional. Kekuatan CUP pada hari ini juga terletak pada penerbitan 230 jurnal ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu.

CUP kini mempunyai seramai 25,000 pengarang dari 116 negara dan menerbitkan antara 1,500 dan 2,000 judul baru dalam setahun.

October 29, 2008

Pengalaman Ammon Shea menghafal kamus

Bayangkan sebuah Oxford English Dictionary. Besar, tebal, berat. Setiap muka surat setebal 21,730 halaman itu penuh teks yang halus, padat dan sendat, hitam dan putih. Kebanyakan kita hanya merujuk kamus sekali sekala apabila mencari makna sesuatu perkataan. Dan ada pula orang suka menjadikan kamus yang tebal sebagai salah satu hiasan di rak kerana tetulangnya yang cantik.

Tidak demikian halnya dengan Ammon Shea yang dalam masa setahun membaca halaman demi halaman, setiap entri dari ‘A’ hingga ‘Z’, dalam 20 jilid Kamus Inggeris Oxford, menekuninya, memahaminya dan menghafalnya.

Lelaki berusia 37 tahun ini menulis pengalamannya itu dalam buku yang baru diterbitkannya berjudul Reading the OED: One man, one year, 21,730 pages.

Sebelum ini pun beliau telah menghafal kamus-kamus lain. Ammon Shea bermula dengan Webster’s Second New International. Tidak puas dengan kamus itu, beliau teruskan pula dengan Webster’s Third New International.

Kemudian beliau menelaah pula kamus yang lebih awal seperti Bailey’s Universal Etymological Dictionary of the English Language, dan beberapa kamus yang menyimpan banyak perkataan yang sukar-sukar pada abad ke-17.

Ammon Shea mengatakan beliau telah membaca berdozen-dozen kamus umum, kamus perubatan, glosari, senarai ejaan, senarai istilah. Setiap kamus, menurut Shea, mempunyai ciri dan kelainannya.

Ammon Shea tidak pernah menjadi seorang penyusun kamus atau leksikografer. Pekerjaannya cukup rencam, daripada pemunggah perabot di kota New York kepada seorang pendayung gondola di limbungan kapal di San Diego dan menjadi pemuzik jalanan di lorong-lorong dan di stesen kereta api bawah tanah di kota Paris. Peniup saksofon ini gemar memainkan lagu-lagu jazz.

Kepada Shea, beliau cukup seronok semasa mula membaca kamus. Membaca dan menghabiskan sebuah buku yang menarik mungkin suatu tekanan baginya tetapi ada banyak hal lain dalam hidup ini yang jauh lebih menekankan.

Ketagihan terhadap maklumat mendesaknya mencari kamus yang lebih besar dan tebal. Nafsunya membara apabila melihat Kamus Inggeris Oxford yang besar dan tebal kerana dia tahu beliau akan mengambil lebih masa untuk habis membacanya.

Apabila mencari makna sesuatu perkataan dalam kamus, beliau akan teringatkan perkara lain pula untuk dicari maknanya, terperangkap pada halaman-halaman berkenaan berjam-jam lamanya, dan sungguhpun telah menemui sesuatu yang menarik hati, naluri ingin tahu memburunya membaca lebih banyak perkara lain yang masih belum diketahuinya – bertabur dan berselerakan dalam kamus besar itu.

Jadi, mahu tidak mahu Ammon Shea mesti membaca keseluruhan kamus sebelum beliau betul-betul merasa puas. Beliau membaca sembilan hingga sepuluh jam setiap hari, lima hari seminggu. Tidak ada tolak ansur! Minatnya dipastikan berterusan. Ada masanya beliau bangun seawal pukul 3 atau 4 pagi dengan harapan menemui sesuatu yang amat menarik pada pagi berkenaan.

Membosankan

Banyak entri yang cukup menarik perhatiannya dan ada pula yang membosankan seperti ‘Q’ dan ‘X’ yang langsung tidak diberikannya perhatian. Dan, beberapa entri yang cukup memukau perhatian Shea ialah Apricity, Bouffage, Father-waur, Ignotism, Introuvable, Obmutescence, Onomatomania, Peracme, Postvide, Psithurism, Sialoquent dan Velleity.

Sekali sekala beliau mengesan kesalahan ejaan di sana sini dan ini menaikkan semangatnya kerana mungkin beliau dapat menegur penerbit dan editor besar. Namun kegembiraannya ini tidak kekal lama kerana apabila menyemak dan membandingkannya dengan edisi dalam talian, kesemua kesilapan tersebut sudah pun dibaiki.

Beliau juga menemui kesilapan lain misalnya pengulangan maksud bagi dua atau lebih entri. Terdapat juga entri yang pada hakikatnya tidak memberikan sebarang penafsiran kepada pembaca.

Kepada Shea, beliau mula menyedari bahawa leksikografi adalah suatu bidang yang menarik. Bahkan sebuah kamus adalah suatu penciptaan yang menarik dan menyeronokkan tetapi kurang dipergunakan. Penyusun kamus yang terpelajar dan dedikasi telah bekerja keras mengisi pelbagai maklumat di dalam kamus untuk manfaat kita berdasarkan bahasa manusia yang sentiasa dinamik dan berkembang.

Kebanyakan kita cuma menggunakan kamus bagi menyemak dan memastikan ejaan yang betul tetapi tidak memanfaatkan maklumat yang ada di dalamnya. Keadaan ini, menurut Shea ibarat menggunakan novel yang besar dan hebat hanya sebagai penindih kertas di atas meja.

Demikianlah budaya pembacaan dan penerbitan di Barat melahirkan pembaca yang teliti seperti Ammon Shea. Minat dan iltizamnya menguntungkan penerbit kerana kepekaannya membolehkan kamus tersebut dibaiki dan diperbetulkan dari masa ke masa.

Apakah Dewan Bahasa dan Pustaka yang menerbitkan Kamus Dewan pernah mengupah sesiapa di luar kelompok editornya bagi membaca, menelaah dan menyemak setiap entri kamus tersebut sejak mula diterbitkan hinggalah ke edisi keempatnya sekarang tidaklah dapat dipastikan.

Apa yang jelas, Kamus Dewan masih banyak kelemahan dan kesilapan yang tidak sepatutnya ditampilkan.

October 29, 2008

Meniti perjalanan terakhir

PADA 18 September 2007 Randy Pausch berdiri tegap menyampaikan syarahan terakhirnya berjudul Really Achieving Your Childhood Dreams. Pausch bertaruh dengan rakannya sebanyak 50 dollar bahawa tidak akan ramai yang akan datang memenuhi dewan kuliah yang dapat menampung 400 orang itu.

Pada musim panas September, orang tidak betah datang ke kuliah bagi mendengar rintihan profesor yang berpenyakit barah dan menanti ajal, banyak lagi yang lebih menyeronokkan yang dapat dimanfaat daripada datang ke situ. Pausch kalah dalam pertaruhan itu. Dewan kuliah penuh sesak. Beliau cukup terharu lalu berbuat yang terbaik untuk syarahannya itu.

Profesor sains komputer di Carnegie Mellon University itu menayangkan slaid demi slaid daripada CT Scans tubuhnya dan bercakap tentang barah pankreas yang sedang ditanggungnya.

Dengan wajah yang masih kelihatan muda dan kacak, beliau bercakap dengan nada tenang dan bersahaja, suaranya bertenaga. Sesekali beliau berseloroh dan berjenaka, seolah-olah tidak gentar dengan kesakitan yang akan meragut nyawanya dalam masa yang cuma tinggal beberapa bulan mendatang. Dia kelihatan kuat dan tidak tergugat oleh penyakitnya.

Namun, itu cumalah beberapa detik sementara dalam hidupnya, sebagaimana beliau sedari dan terpaksa akur. Kuliah itu kemudian menjadi menjadi rebutan berbelas penerbit yang yakin syarahannya itu dapat menyuntik inspirasi kepada jutaan pembaca jika diterbitkan. Memang, kuliah yang terbit kemudian dengan memakai judul The Last Lecture itu menjadi suatu fenomena. Buku ini mengajak kita semua melalui setiap detik dalam kehidupan hari demi hari dengan penuh makna dan keseronokan.

Pausch dalam buku itu melafazkan kasih sayangnya kepada keluarga yang bakal berpisah dengannya, memberikan mereka kata-kata semangat dan mengucapkan selamat tinggal.

Ungkapan selamat tinggal memang sesuatu yang lumrah dalam kehidupan kita setiap hari, ada ketikanya kita melafazkannya dengan penuh emosi. Randy Pausch, adalah antara sejumlah kecil manusia yang menghampiri saat kematian dalam kesedaran.

Bagaimana beliau mengungkapkan kata-katanya? Bagaimana dia menunjukkan kasih sayangnya?

Beliau adalah seorang pensyarah yang menjadi masyhur dengan caranya menyatakan selamat tinggal kepada pelajar dan rakan sejawatnya di Carnegie Mellon University. Kuliah terakhirnya itu kini menjadi fenomena selepas ditonton berjuta orang dalam Internet. Dengan ringkas beliau mengingatkan akan kematian yang bakal menjadi realiti kepada kita semua.

Kuliah sejamnya lebih tertumpu kepada peringatannya untuk ahli keluarganya khususnya isterinya, Jai, bagi meneruskan kehidupan selepas ketiadaannya bersama tiga orang anaknya berusia enam, tiga dan setahun.

MerahsiakanSelepas keputusan diagnosis Ogos tahun lalu, Pausch dan Jai menerima berita tersebut dengan tabah dan terus merahsiakan risiko kematian yang ditanggungnya daripada pengetahuan anak-anak mereka.

Pausch tetap kelihatan sihat dalam menghitung hari-hari yang mendatang dalam hidupnya yang semakin singkat. Maka, anak-anak mereka tidak langsung menyedari bahawa setiap kali dia bergaul dengan mereka, dia sebenarnya sedang mengucapkan selamat tinggal dengan caranya sendiri.

Sama ada dalam syarahan mahupun dalam kehidupannya, Pauschtelah merangka peta perjalanan hidupnya yang realistik menuju hari terakhir yang cuma tinggal beberapa minggu. Beliau melalui hari demi hari seperti biasa, dengan jujur, sedar dan insaf tetapi dihimpit oleh satu pertanyaan: “Bagaimana untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka?”

Semasa menyampaikan syarahan itu, Pausch kurang menyentuh tentang barah yang dihidapinya. Sebaliknya, bercakap tentang apa yang dipelajarinya dalam hidupnya, tentang pentingnya mimpi dan angan-angan zaman kanak-kanak, betapa perlunya keazaman dan kekuatan dalaman bagi menghadapi saat sukar dan kegagalan, bersabar dalam menghadapi kerenah orang lain.

Bagi menunjukkan kepada hadirin yang dia belum bersedia memanjat katil yang bakal menempatkan jenazahnya, beliau menjatuhkan dirinya ke lantai dan membuat regangan lengan dan dada.

Selama sejam di pentas, Randy mengajak rakan sejawat dan pelajarnya memikirkan dan menimbangkan semula cita-cita mereka.

Beliau mengajak mereka melihat kelemahan dan kekuatan orang lain dengan cara baru. Sungguhpun dia tidak dapat menolak hakikat kematian yang sudah hampir datang menjemputnya, namun Randy terus bersemangat bercakap tentang harga kasih sayang.

Ketika ini, tiga orang anaknya – Dylan, Logan dan Chloe – masih terlalu kecil dan muda untuk memahami kesakitan yang dihidapinya. Justeru Pausch mahu anak- anaknya memahami akan prinsip dan pegangan hidupnya sehingga menjadikan dirinya seorang profesor dalam bidang sains komputer yang berjaya. Dia mahu anak- anaknya memahami betapa tingginya nilai kasih sayangnya pada mereka.

Bagi yang sempat hidup lama sehingga anak-anak mereka dewasa tentulah dapat merasakan kepuasannya. Mereka dapat melihat anak-anak membesar dan berjaya. Bagi Pausch, anak-anaknya tidak dapat merasakan semua itu. Mereka akan kehilangan ayah. Beliau memikirkan apa yang akan lesap daripadanya dan apa pula yang bakal terlepas daripada anak-anaknya.

Ketika barahnya dikesan terus membesar, Pausch berkata, barah yang dialaminya itu telah memberikannya peluang untuk berkata-kata dengan lebih bermakna kepada orang yang disayanginya, yang tidak mungkin beliau kecapi jika dia mati mengejut dalam kemalangan jalan raya atau mendapat serangan jantung.

Beliau berpesan kepada isterinya apa yang patut dilakukan selepas ketiadaannya, mengutamakan dirinya dalam keadaan terdesak, dan mesti ingat bahawa melakukan kesilapan adalah perkara biasa dalam membesarkan anak-anak. Kalau Pausch ada bersama, mereka akan melakukan kesilapan bersama, kecewa bersama dan membetulkan kesilapan bersama.

Bahagian akhir syarahan ini mengungkapkan apa yang dirasainya. Kenapa perlu takutkan kematian, jika kematian itu adalah suatu cabaran yang paling indah dalam kehidupan kita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Pausch.

Perjalanan terakhir dalam hidupnya ini ditulis oleh Pausch dengan amat bersemangat untuk menjadikan syarahannya bermanfaat, dan buku yang terbit ini menjadi suatu tinggalan yang bermakna baginya. Sejak buku ini diterbitkan, Pausch menerima banyak ucapan yang memuji tulisannya yang menaikkan semangat mereka yang senasib dengannya.

August 14, 2007

Labyrinth oleh Imaen

ladybrinth1.jpg

Sebuah lagi karya romantis-thriller daripada IMAEN, selepas Vendetta (Gurindam Jiwa) 

Dunia Kamal dan Dani berbeza. Namun takdir telah mempertemukan mereka. Pembunuhan bersiri adalah ‘lantai’ untuk mereka saling mengenali; mencari jalan keluar dari labyrinth yang membelenggu mereka!
Kamal
Cinta dan rindu seperti kopi… pahit! Setia pula adalah gulanya. Kopi dan gula adalah kepahitan yang manis. Kenapakah cintanya sudah tidak bergula lagi? 
Dani
Kadang-kadang dalam riuh di luar, di dalam begitu sepi. Seperti ada tembok yang memisahkan. Seperti gagalnya laut menakluki sungai dengan masinnya.
Riuh itu laut dan Dani itu sungai…dan Maira?
 
Maira
Cintaku kepada-Mu adalah laut tanpa pantai… hujan tanpa awan. Rinduku kepada-Mu adalah mabuk tanpa anggur… makan tanpa kenyang! 

Bahasa diamlah bahasa yang paling sukar. Dalam diam ada seribu pengertian. Dalam diam ada seribu soalan. Dalam diam ada seribu jawapan. Dan dalam diam ada seribu tafsiran. Dengan diam orang boleh berkata, aku cinta padamu. Dan dalam diam juga orang boleh berkata, kita tidak lagi sehaluan.
lalu diam yang bagaimanakah aku dan Maira?
lalu diam yang bagaimanakah aku dan Natasya? 

Seorang diri dia memasuki labyrinth… berjalan dan terus berjalan: jalan yang berselirat. Dia harus memilih, namun setiap pilihan adalah halangan, lalu dia mencipta jalannya sendiri. Dia tahu, pembunuh itu berada dekat dengannya.  Siapa?

Imaen boleh dilawati di www.imaen.blogdrive.com