Perjalanan panjang belia Pulau Pinang

SEJARAH pergerakan belia negeri Pulau Pinang diabadikan dalam sebuah buku 60 Tahun Perjalanan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang yang baru diterbitkan ini. Buku ini melakarkan kembali jalan panjang selama 60 tahun yang dilalui oleh Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) sejak ditubuhkan pada 17 November 1948.

Mengikut rekod, penubuhan MBNPP diputuskan dalam persidangan Malayan Youth Council pada 23 Julai 1948 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Pada asalnya MBNPP memakai nama Settlement Youth Council And Province Wellesley dan diterajui pertama kalinya oleh Hakim Fred Arullnandam.

Seperti pergerakan lain ketika itu, State Youth Council juga bergerak dengan azam dan semangat ahli-ahlinya yang ghairah ke arah mendapatkan kemerdekaan. Strategi ketika itu adalah bagi merapatkan barisan antara semua ahli daripada setiap bangsa. Pemimpin belia sedar, kunci ke arah melepaskan rakyat daripada belenggu penjajahan ketika itu ialah dengan memantapkan perpaduan kaum. Hal ini amat jelas daripada petikan ucapan beberapa pemimpin belia negeri Pulau Pinang yang diterbitkan semula dalam buku ini.

Badan bukan kerajaan ini dalam sejarahnya telah menjalin kerjasama yang erat dengan kerajaan negeri dan pusat. Sejarah panjang Penang Youth Council bagi menyatukan belia peringkat negeri itu agak berliku juga sama sulitnya dengan usaha memupuk perpaduan kaum pelbagai peringkat. Setelah tercetusnya peristiwa sengketa kaum pada 13 Mei 1969, pertubuhan itu menerima kesan sehingga merencat kegiatannya pada awal dekad 70-an. Rani Ibrahim yang memimpin Penang Youth Council telah mengambil pelbagai langkah bagi menyusun semula barisan belia di Pulau Pinang.

Sungguhpun baru bangkit daripada kegawatan akibat tragedi permusuhan kaum 1969, Penang Youth Council dapat terus melaksanakan pelbagai kegiatan yang menautkan kembali belia pelbagai kaum di Pulau Pinang di bawah satu payung. Penang Youth Council bahkan masih mampu menjadi tuan rumah Asian Youth Seminar pada 1976.

Pada suatu ketika timbul masalah teknikal apabila wujud dua pertubuhan yang memimpin pergerakan belia di Pulau Pinang. Selain Penang Youth Council yang bernaung di bawah Malayan Youth Council dan berdaftar sebelum wujudnya Akta Pertubuhan pada 1966, terdapat pula Majlis Belia Malaysia Bahagian Penang yang berdaftar pada 1970. Dengan kemuafakatan yang ada, dikekalkan Majlis Belia Pulau Pinang yang diterima pendaftarannya pada 1979.

Perkembangan ini memudahkan lagi pembangunan belia di negeri tersebut. Nadi pergerakan belia Pulau Pinang pada ketika itu sangat tertumpu kepada Kompleks Pelbagai Guna Batu Uban yang baru dirasmikan oleh Datuk Ali Ahmad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

MBNPP telah melangkah jauh dengan melibatkan anggotanya dalam pelbagai program belia peringkat antarabangsa melalui kegiatan lawatan, seminar, pertukaran belia, dialog dan persembahan kebudayaan.

Bermula pada 1979, MBPP turut menghantar anggotanya dalam program Kapal Belia Asia Tenggara, Nippon Maru yang memberikan kefahaman tentang kehidupan masyarakat Asia. MBPP kemudian menjadi tuan rumah dan menyambut 210 belia Asia dalam kapal Nippon Maru yang berlabuh di pelabuhan Pulau Pinang pada 1983.

Banyak lawatan dari pelbagai pertubuhan belia antarabangsa telah diterima oleh MBPP ke negeri itu sebagai membalas lawatan ke luar negara yang dilakukan. Pada 2001 termeterai pula perjanjian persefahaman dengan The Adelaide Sister City Young Ambassadors sehingga melebarkan sayap perjuangan MBPP.

MBPP menjenamakan semula pertubuhan itu pada 2006 dengan memakai nama baru dan dikenali sebagai Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP). Struktur organisasi pertubuhan ini juga diubah bagi menyesuaikan pelbagai perubahan yang berlaku kebelakangan ini.

Buku ini turut merakamkan usaha MBNPP mewujudkan masyarakat belia yang mengamalkan gaya hidup berkualiti, mempunyai jati diri yang mantap, berpegang kepada nilai-nilai murni, bersemangat sukarela, patriotik dan berdikari dalam menghadapi pelbagai cabaran. MBNPP menjalankan usaha mengukuhkan sahsiah dan kekuatan diri belia melalui program kemahiran, peluang perniagaan dan keusahawanan. Selain itu MBNPP turut membantu kerabatnya dalam memantapkan kegiatan dan pengurusan belia peringkat akar umbi.

Dalam masa yang sama MBNPP berusaha membina kestabilan dan integrasi nasional dengan membina peribadi belia yang positif, dinamik dan produktif. MBNPP juga mengambil pelbagai langkah proaktif ke arah berusaha menjauhkan belia daripada anasir subversif, vandalisme dan kegiatan samseng. Usaha ini amat penting bagi menyediakan belia sebagai pelapis dalam barisan kepimpinan negara.

Melalui pelbagai program yang dijalankan, pertubuhan ini juga membantu belia meningkatkan jaringan dan interaksi dengan masyarakat belia antarabangsa. Ini tentunya menjadikan pemimpin belia lebih terbuka dan mengenali pelbagai masalah di luar batas yang lebih luas.

Banyak usaha yang telah dilakukan dalam memastikan kelompok muda di negara ini menjalani kehidupan yang positif. Kepada golongan belialah negara ini menyandarkan harapannya dan nasib serta masa depannya. Kepada belia kita pertaruhkan kejayaan dan kemajuan kita dalam dekad yang mendatang. Jika lemah belia kita pada masa kini, akan lemahlah negara kita pada masa akan datang.

Pertubuhan belia memegang peranan memastikan belia negara ini tidak dipengaruhi oleh unsur yang dapat melemahkan kekuatan benteng negara serta menjadi tonggak dalam menegakkan negara kita yang telah lebih 50 tahun merdeka.

MBNPP telah membuktikan peranan yang dimainkannya dalam tempoh 60 tahun lalu. Namun demikian, usaha yang telah dimainkan oleh MBNPP tidak boleh berhenti setakat itu sahaja. Kita tidak boleh tersenyum membaca rakaman sejarah kejayaan yang belum tentu akan berterusan dan berulang. Dekad yang bakal mendatang akan muncul dengan pelbagai cabaran yang tidak semuanya dapat dijangkakan.

Dunia yang global dan semakin mengecil akan menuntut belia kita lebih supaya bersedia menghadapinya dengan pelbagai persediaan. Setiap belia kita mesti ditanamkan ciri-ciri terpuji bagi menjadikan mereka modal insan yang paling berharga untuk diwarisi oleh negara yang kuat.

Leave a comment

Filed under ROOSFA HASHIM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s