Maju mundur buku 2008

TINGGAL cuma beberapa hari sebelum tirai tahun 2008 dilabuhkan. Beberapa kegiatan perbukuan telah mengisi ruang tahun ini. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung selama 10 hari pada 4 April hingga 13 April. PBAKL 2008 diadakan hasil pemuafakatan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Persatuan Penerbit buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM) dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MPIM).

Sempena PBAKL, telah berlangsung juga Persidangan Antarabangsa Industri Buku (ICoBI) pada 4-5 April 2008. IcoBI diadakan dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Persidangan ini memberi peluang penggiat industri buku termasuk pencetak, penerbit, pengedar, pembekal berkumpul bagi bertukar tukar pengalaman.

Seperti biasa, persidangan datang dan pergi tanpa memberi sebarang kesan kepada industri buku sungguhpun diuar-uarkan dengan lunaknya IcoBI 2008 bertujuan mengenal pasti mekanisme baru bagi menyemarakkan iklim penerbitan dalam semua bidang. Segmen penerbitan genre negara dan global, merumuskan pelan tindakan bagi memperkasakan industri penerbitan dan perbukuan ASEAN dan mempercepatkan pembangunan industri penerbitan buku negara dalam rangka memperkasakan modal insan.

Pengarang, editor, penerbit, pereka bentuk buku dan pihak lain dalam industri buku ternanti-nanti Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008 oleh MBKM. Proses penilaian dan penghakiman oleh panel hakim sudah selesai kira-kira sebulan sebelum PBAKL 2008. Pemenang setiap kategori sudah diputuskan oleh panel hakim yang dilantik oleh menteri berkenaan. Namun demikian bukan sahaja anugerah tersebut tidak disampaikan semasa PBKL berlangsung seperti kelazimannya, bahkan sampai ke hari ini tidak ada khabar berita. Perkembangan ini sedikit sebanyak merosakkan reputasi MBKM sebagai sebuah institusi yang diberi tanggungjawab menggalak dan memajukan kegiatan perbukuan negara.

Sudah sekian lama penggiat industri buku di negara ini kecewa dengan kemerosotan dalam kepimpinan dan pengurusan MBKM yang suatu waktu dulu diterajui oleh mereka yang dianggap tokoh dalam perbukuan. Pada hari ini kementerian meletakkan pegawai yang bukan sahaja tidak dikenali oleh industri perbukuan tetapi tidak memperlihatkan iltizam yang tinggi dalam memajukan perbukuan negara. Salah satu buktinya ialah kegagalan penganjuran Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008 oleh MBKM.

Kepimpinan yang lemah dalam MBKM akan sedikit sebanyak boleh merebak kepada industri buku yang patut dimajukan oleh majlis tersebut. Barangkali ada benarnya seperti kata Mat Zin Mat Kib, pensyarah UiTM Cawangan Kota Kinabalu, “Tahun ini banyak buku tapi kebanyakannya tidak berkualiti”. Mat Zin, memimpin penerbitan buku di UiTM Kota Kinabalu dikenali sebagai seorang penggemar buku, penulis buku dan makalah ilmiah. Beliau sering menerima anugerah peringkat UiTM terutama dalam penulisan. Kualiti buku yang beliau maksudkan tentu sahaja yang berkait dengan buku ilmiah dalam kalangan penerbit buku di universiti. Dengan dasar penggunaan bahasa yang tidak menentu di peringkat sekolah dan universiti tentulah akan memberi kesan terhadap masa depan penerbitan buku ilmiah di negara ini.

Gabungan

Baletham Kalimuthu, bekas guru bahasa, penterjemah, penulis dan editor melihat perkembangan buku di negara ini pada 2008 dalam tiga perkara. Pertama menurut Balaetham kemunculan PTS sebagai penerbit buku yang besar dan aktif yang sukar dinafikan.

Kedua, Balaetham melihat kerancakan penerbitan buku dalam bahasa Inggeris dan dalam masa yang sama menurut Balaetham, harapan melihat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggal harapan. Pendapat beliau sejajar dengan apa yang dibimbangi Mat Zin namun demikian kita berharap Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dapat memainkan peranannya dalam memperjelas hala tuju penerbitan ilmiah di Malaysia.

Banyak sekali judul buku baru diterbitkan dan dilancarkan sepanjang 2008. Salah satu buku yang dapat dianggap besar pada tahun ini ialah buku Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008 yang dilancarkan pada 13 Oktober. Pelancaran buku tersebut adalah sempena Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu yang dirayakan pada tahun ini. Terbitan terbitan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu hasil tulisan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dan Dr. Anwar Omar Din.

Pelancaran

Buku telah juga menjadi salah satu agenda penting pemimpin negara. Pada 13 Februari, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melancarkan buku Liku-Liku Meniti Kejayaan. Timbalan Perdana Menteri juga pada tahun ini melancarkan sebuah autobiografi berjudul Ibrahim Pahlawan Melayu karya Tun Ibrahim Ismail yang juga mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia. Baru-baru ini pula pada Najib melancarkan sebuah lagi biografi berjudul Taib Andak: In A Class of His.

Pelancaran buku Falsafah Sains dari Perspektif Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang disusun oleh Profesor Madya Dr. Baharudin Ahmad telah disempurnakan oleh Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Sanusi bin Junid, pada 9 Januari. Turut dilancarkan dalam majlis tersebut ialah buku Science In Islam and the West oleh Profesor Dr. Cemil Akdogan terbitan UIAM. Buku ini menghimpunkan pandangan pemikir Timur dan Barat dalam bidang falsafah sains yang mengkritik sains moden. Antara penyumbang dalam buku ini termasuklah S.H. Nasr, Huston Smith, Lord Northborne, Frithjof Schuon, Osman Bakar serta rencana dan pengenalan oleh Baharudin Ahmad.

Buku ini menolak anggapan bahawa sains Barat moden adalah satu-satunya sains yang boleh memberi semua tafsiran tentang hakikat kejadian walaupun tidak dinafikan tentang sumbangan sains Barat kepada manusia. Para penulis juga cuba meletakkan sains Barat moden dalam satu perspektif yang lebih sesuai. Mereka mengkritik anggapan serta tafsiran sains Barat moden terhadap agama dan fenomena agama.

Tun Dr. Mahathir melancarkan buku Chedet.com Blogging to Unblock pada Ramadan lalu. Buku ini menghimpun koleksi pilihan tulisan dalam blog chedet.com dan di terbitkan oleh Berita Publishing.

Buku The Malays-Their Prioblems and Future oleh Dr. Syed Husin Ali juga diterbitkan dan dilancarkan pada tahun ini. Buku ini ditulis berdasarkan pengamatan beliau terhadap perkembangan sejarah orang Melayu di negara ini bermula daripada awal kurun ke 20. Syed Husin Ali mengupas persoalan identiti Melayu, permasalahan dan kemiskinan yang melanda mereka dan masa depan yang bakal dihadapi.

Buku oleh kolumnis terkemuka Allahyarham Rustam A. Sani berjudul Social Roots of the Malay Left dan Failed Nation juga diterbitkan dan dilancarkan selepas kepergian beliau. Seorang pengulas berpendapat buku pertama beliau agak ketinggalan kerana kajian tersebut dilakukannya lama dulu sewaktu beliau menyiapkan kajian peringkat sarjananya. Judul buku kedua pula dikatakan terlalu besar dan tidak terjangkau oleh tulisan Rustam di dalamnya.

Seorang ahli Parti Gerakan gagal dalam usahanya untuk menghalang pelancaran buku berjudul Non-Sectarian Politics in Malaysia: The Case of Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Chia Loong Thye yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, tetapi kalah kepada calon DAP, mendakwa muka surat 145 buku itu mengandungi perkataan yang memfitnah dirinya. Pada 29 Julai dia memfailkan saman fitnah terhadap pengarang buku itu – Neil Khor Jin Keong dan Khoo Kay Peng serta penerbit dan pencetaknya.

Demikianlah sebahagian perkembangan dan isu yang dihadapi oleh industri perbukuan di negara ini sepanjang tahun 2008. Dalam kemelut ekonomi yang sedang melanda, industri buku akan berdepan dengan masalah yang lebih mencabar pada tahun depan.

Leave a comment

Filed under ROOSFA HASHIM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s