Category Archives: ROOSFA HASHIM

Cia Sarat Dengan Kepincangan

 

 

Adam Malik ialah agen perisik yang dilatih oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA). Inilah bahagian paling menarik buku Legacy of Ashes: The Histrory of CIA tulisan wartawan The New York Times, Tim Weiner. “I recruited and ran Adam Malik. He was the highest ranking Indonesian we ever recruited”. Demikian pengakuan Clyde McAvoy pada halaman 299 buku ini.

McAvoy ialah agen CIA yang sedekad sebelum itu bekerja merekrut dan melatih bakal Perdana Menteri Jepun yang bakal tunduk pada Amerika. Beliau kemudian ke Indonesia selepas mendapat arahan bagi menyelinap ke dalam Parti Komunis Indonesia (PKI) dan kerajaan di bawah pemerintahan Sukarno. PKI dibimbangi oleh Amerika yang melihatnya sebagai organisasi komunis terbesar di luar Soviet dan China dengan kekuatan 3.5 juta ahli. Dengan kekuatan itu, kedudukan Amerika di rantau Asia Tenggara akan tergugat jika tidak dibendung.

Adam Malik beberapa kali mengadakan mesyuarat di rumah McAvoy di Jakarta pada 1964. Beberapa minggu kemudian, Indonesia terpecah dua. CIA berusaha menaikkan kerajaan bayangannya yang terdiri daripada Adam Malik, Sultan Hamengkubuwono yang masih memerintah di Jawa Tengah, dan Major Jeneral Suharto.

Adam Malik kemudian mengadakan beberapa mesyuarat dengan duta baru Amerika di Indonesia, Marshall Green. Duta Amerika ini mengaku dalam buku ini bahawa beliau dapat membaca dengan jelas apa yang ada dalam otak Adam Malik dan Suharto. Beliau juga bersetuju dengan cara kedua-dua mereka menyusun strategi bagi melenyapkan pengaruh komunis dalam pentadbiran Indonesia melalui Kap-Gestapu. Dengan jalan ini, Amerika dapat membayangi pentadbiran Indonesia untuk masa depan.

Pada pertengahan Oktober 1965, Adam Malik menghantar seorang pembantunya ke rumah pegawai kanan politik di Kedutaan Indonesia, Bob Martens yang pernah bertugas di Moscow sewaktu Adam Malik menjadi duta Indonesia di sana. Martens menyerahkan senarai 67 pemimpin PKI yang mesti dihapuskan. Walaupun tidak ada arahan jelas bagi pembunuhan namun, penghapusan mereka amat penting kepada usaha memantapkan pengaruh Amerika dalam pentadbiran Indonesia.

Tidak lama kemudian berlaku keganasan di Indonesia seperti yang dirancangkan. Apabila Suharto diangkat menjadi Presiden, semakin besarlah peranan Amerika dalam pentadbiran Indonesia. Semakin teguh pula kedudukan Adam Malik. Adam Malik diangkat oleh Suharto menjadi Menteri Luar dan semakin besarlah peranan Amerika dalam mencorakkan politik dan pentadbiran Indonesia. Apabila tidak lagi berada dalam kabinet, Adam Malik dengan sokongan dan lobi Amerika menjadi duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pendedahan Tim Weiner tentang penglibatan dan peranan Adam Malik sebagai orang CIA dalam pentadbiran Indonesia tidak akan mengubah apa-apa. Tetapi, bagi generasi muda Indonesia yang tidak melihat sejarah bangsa Indonesia yang besar di Asia Tenggara itu, tanggapan mereka terhadap Pahlawan Nasional itu tentulah berbeza. Mana mungkin agen Amerika dapat diterima sebagai Pahlawan Nasional Indonesia?

Menembusi

Buku ini banyak juga mendedahkan kegagalan pelbagai usaha yang dirancang oleh CIA. Penulis antara lain mendedahkan kelemahan CIA dalam usaha badan perisikan itu menggerakkan perisiknya menembusi kekebalan sistem pentadbiran Komunis China. Dalam masa yang sama perisikan CIA gagal meramalkan berlakunya revolusi Iran pada 1979.

Laksamana Stansfield Turner, bekas pengarah CIA mengaku akan kelemahan kakitangannya yang lebih banyak menghabiskan masa ‘tertidur’ sehingga gagal mencium banyak peristiwa besar dalam sejarah. CIA gagal meramalkan ledakan bom atom oleh Soviet Union pada 1949, penaklukan Korea Utara pada 1950, kebangkitan Eropah Timur pada 1950-an, pemasangan peluru berpandu Soviet di Cuba pada 1962, Perang Arab-Israel 1973, penaklukan Soviet di Afghanistan pada 1979, runtuhnya Kesatuan Soviet pada 1989, penaklukan Iraq ke atas Kuwait pada 1990, ledakan bom atom oleh India pada 1998 serta beberapa peristiwa besar lain dalam sejarah dunia moden. Kelemahan paling besar ialah maklumat CIA tentang kewujudan senjata pemusnah besar-besaran dalam simpanan Iraq pada 2002.

Pendedahan Tim Weiner tentang pergerakan CIA menarik dan mendalam, bermula dengan penghantaran ramainya agen CIA di negara tabir besi. Banyak wang dibelanjakan. Agen CIA pergi ke negara seluruh dunia dan berbuat apa saja yang mereka ingin lakukan, kata al-Ulmer, ketua CIA Timur Jauh pada tahun 1950-an. Ada ketikanya, kejayaan yang diharapkan bertukar menjadi malapetaka.

Pada 1963, CIA menyokong rampasan kuasa bagi menaikkan Parti Baath di Iraq. Hal ini disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Parti Baah, Ali Saleh Saadi. Salah seorang pemuda gagah berani dan melakukan pembunuhan dalam operasi tersebut bernama Saddam Hussein.

Weiner memetik Donald Gregg, mantan Ketua CIA di Korea Selatan yang kemudiannya menjadi penasihat keselamatan George H.W. Bush yang berkata “Rekod CIA di Eropah buruk, Rekod di Asia juga buruk. Agensi ini mempunyai rekod yang terlalu buruk pada peringkat awal – reputasi yang baik dengan rekod yang amat buruk”.

Weiner, juga pernah menjadi wartawan The Times dan berpengalaman bertahun- tahun membuat liputan tentang perisikan. Weiner sedar bahawa mereka yang berada pada kedudukan tinggi selalu lambat mengetahui perkembangan terkini. Semasa Iraq merempuh masuk sempadan Kuwait pada Ogos 1990, Robert M. Gates, penasihat perisikan Presiden Bush yang kemudian menjadi Setiausaha Pertahanan sedang berkelah bersama keluarga.

Weiner bukanlah wartawan pertama melihat kegagalan CIA. Antara lain kepincangan dalam CIA pernah didedahkan dalam buku Thomas Powers berjudul The Man Who Kept the Secrets dan satu lagi tulisan oleh Evan Thomas, editor majalah Newsweek, berjudul The Very Best Men: The Daring Early Years of the CIA. Memang, dengan kebobrokan CIA, sukar sekali kita memisahkan antara maklumat yang benar dan palsu mengenai CIA termasuklah tentang penglibatan Adam Malik. Hanya pengkaji sejarah akan menentukan warna sebenar pemimpin bangsa kita.

Advertisements

Leave a comment

Filed under ROOSFA HASHIM

Maju mundur buku 2008

TINGGAL cuma beberapa hari sebelum tirai tahun 2008 dilabuhkan. Beberapa kegiatan perbukuan telah mengisi ruang tahun ini. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung selama 10 hari pada 4 April hingga 13 April. PBAKL 2008 diadakan hasil pemuafakatan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Persatuan Penerbit buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM) dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MPIM).

Sempena PBAKL, telah berlangsung juga Persidangan Antarabangsa Industri Buku (ICoBI) pada 4-5 April 2008. IcoBI diadakan dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Persidangan ini memberi peluang penggiat industri buku termasuk pencetak, penerbit, pengedar, pembekal berkumpul bagi bertukar tukar pengalaman.

Seperti biasa, persidangan datang dan pergi tanpa memberi sebarang kesan kepada industri buku sungguhpun diuar-uarkan dengan lunaknya IcoBI 2008 bertujuan mengenal pasti mekanisme baru bagi menyemarakkan iklim penerbitan dalam semua bidang. Segmen penerbitan genre negara dan global, merumuskan pelan tindakan bagi memperkasakan industri penerbitan dan perbukuan ASEAN dan mempercepatkan pembangunan industri penerbitan buku negara dalam rangka memperkasakan modal insan.

Pengarang, editor, penerbit, pereka bentuk buku dan pihak lain dalam industri buku ternanti-nanti Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008 oleh MBKM. Proses penilaian dan penghakiman oleh panel hakim sudah selesai kira-kira sebulan sebelum PBAKL 2008. Pemenang setiap kategori sudah diputuskan oleh panel hakim yang dilantik oleh menteri berkenaan. Namun demikian bukan sahaja anugerah tersebut tidak disampaikan semasa PBKL berlangsung seperti kelazimannya, bahkan sampai ke hari ini tidak ada khabar berita. Perkembangan ini sedikit sebanyak merosakkan reputasi MBKM sebagai sebuah institusi yang diberi tanggungjawab menggalak dan memajukan kegiatan perbukuan negara.

Sudah sekian lama penggiat industri buku di negara ini kecewa dengan kemerosotan dalam kepimpinan dan pengurusan MBKM yang suatu waktu dulu diterajui oleh mereka yang dianggap tokoh dalam perbukuan. Pada hari ini kementerian meletakkan pegawai yang bukan sahaja tidak dikenali oleh industri perbukuan tetapi tidak memperlihatkan iltizam yang tinggi dalam memajukan perbukuan negara. Salah satu buktinya ialah kegagalan penganjuran Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008 oleh MBKM.

Kepimpinan yang lemah dalam MBKM akan sedikit sebanyak boleh merebak kepada industri buku yang patut dimajukan oleh majlis tersebut. Barangkali ada benarnya seperti kata Mat Zin Mat Kib, pensyarah UiTM Cawangan Kota Kinabalu, “Tahun ini banyak buku tapi kebanyakannya tidak berkualiti”. Mat Zin, memimpin penerbitan buku di UiTM Kota Kinabalu dikenali sebagai seorang penggemar buku, penulis buku dan makalah ilmiah. Beliau sering menerima anugerah peringkat UiTM terutama dalam penulisan. Kualiti buku yang beliau maksudkan tentu sahaja yang berkait dengan buku ilmiah dalam kalangan penerbit buku di universiti. Dengan dasar penggunaan bahasa yang tidak menentu di peringkat sekolah dan universiti tentulah akan memberi kesan terhadap masa depan penerbitan buku ilmiah di negara ini.

Gabungan

Baletham Kalimuthu, bekas guru bahasa, penterjemah, penulis dan editor melihat perkembangan buku di negara ini pada 2008 dalam tiga perkara. Pertama menurut Balaetham kemunculan PTS sebagai penerbit buku yang besar dan aktif yang sukar dinafikan.

Kedua, Balaetham melihat kerancakan penerbitan buku dalam bahasa Inggeris dan dalam masa yang sama menurut Balaetham, harapan melihat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggal harapan. Pendapat beliau sejajar dengan apa yang dibimbangi Mat Zin namun demikian kita berharap Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dapat memainkan peranannya dalam memperjelas hala tuju penerbitan ilmiah di Malaysia.

Banyak sekali judul buku baru diterbitkan dan dilancarkan sepanjang 2008. Salah satu buku yang dapat dianggap besar pada tahun ini ialah buku Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008 yang dilancarkan pada 13 Oktober. Pelancaran buku tersebut adalah sempena Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu yang dirayakan pada tahun ini. Terbitan terbitan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu hasil tulisan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dan Dr. Anwar Omar Din.

Pelancaran

Buku telah juga menjadi salah satu agenda penting pemimpin negara. Pada 13 Februari, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melancarkan buku Liku-Liku Meniti Kejayaan. Timbalan Perdana Menteri juga pada tahun ini melancarkan sebuah autobiografi berjudul Ibrahim Pahlawan Melayu karya Tun Ibrahim Ismail yang juga mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia. Baru-baru ini pula pada Najib melancarkan sebuah lagi biografi berjudul Taib Andak: In A Class of His.

Pelancaran buku Falsafah Sains dari Perspektif Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang disusun oleh Profesor Madya Dr. Baharudin Ahmad telah disempurnakan oleh Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Sanusi bin Junid, pada 9 Januari. Turut dilancarkan dalam majlis tersebut ialah buku Science In Islam and the West oleh Profesor Dr. Cemil Akdogan terbitan UIAM. Buku ini menghimpunkan pandangan pemikir Timur dan Barat dalam bidang falsafah sains yang mengkritik sains moden. Antara penyumbang dalam buku ini termasuklah S.H. Nasr, Huston Smith, Lord Northborne, Frithjof Schuon, Osman Bakar serta rencana dan pengenalan oleh Baharudin Ahmad.

Buku ini menolak anggapan bahawa sains Barat moden adalah satu-satunya sains yang boleh memberi semua tafsiran tentang hakikat kejadian walaupun tidak dinafikan tentang sumbangan sains Barat kepada manusia. Para penulis juga cuba meletakkan sains Barat moden dalam satu perspektif yang lebih sesuai. Mereka mengkritik anggapan serta tafsiran sains Barat moden terhadap agama dan fenomena agama.

Tun Dr. Mahathir melancarkan buku Chedet.com Blogging to Unblock pada Ramadan lalu. Buku ini menghimpun koleksi pilihan tulisan dalam blog chedet.com dan di terbitkan oleh Berita Publishing.

Buku The Malays-Their Prioblems and Future oleh Dr. Syed Husin Ali juga diterbitkan dan dilancarkan pada tahun ini. Buku ini ditulis berdasarkan pengamatan beliau terhadap perkembangan sejarah orang Melayu di negara ini bermula daripada awal kurun ke 20. Syed Husin Ali mengupas persoalan identiti Melayu, permasalahan dan kemiskinan yang melanda mereka dan masa depan yang bakal dihadapi.

Buku oleh kolumnis terkemuka Allahyarham Rustam A. Sani berjudul Social Roots of the Malay Left dan Failed Nation juga diterbitkan dan dilancarkan selepas kepergian beliau. Seorang pengulas berpendapat buku pertama beliau agak ketinggalan kerana kajian tersebut dilakukannya lama dulu sewaktu beliau menyiapkan kajian peringkat sarjananya. Judul buku kedua pula dikatakan terlalu besar dan tidak terjangkau oleh tulisan Rustam di dalamnya.

Seorang ahli Parti Gerakan gagal dalam usahanya untuk menghalang pelancaran buku berjudul Non-Sectarian Politics in Malaysia: The Case of Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Chia Loong Thye yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, tetapi kalah kepada calon DAP, mendakwa muka surat 145 buku itu mengandungi perkataan yang memfitnah dirinya. Pada 29 Julai dia memfailkan saman fitnah terhadap pengarang buku itu – Neil Khor Jin Keong dan Khoo Kay Peng serta penerbit dan pencetaknya.

Demikianlah sebahagian perkembangan dan isu yang dihadapi oleh industri perbukuan di negara ini sepanjang tahun 2008. Dalam kemelut ekonomi yang sedang melanda, industri buku akan berdepan dengan masalah yang lebih mencabar pada tahun depan.

Leave a comment

Filed under ROOSFA HASHIM

Perjalanan panjang belia Pulau Pinang

SEJARAH pergerakan belia negeri Pulau Pinang diabadikan dalam sebuah buku 60 Tahun Perjalanan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang yang baru diterbitkan ini. Buku ini melakarkan kembali jalan panjang selama 60 tahun yang dilalui oleh Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) sejak ditubuhkan pada 17 November 1948.

Mengikut rekod, penubuhan MBNPP diputuskan dalam persidangan Malayan Youth Council pada 23 Julai 1948 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Pada asalnya MBNPP memakai nama Settlement Youth Council And Province Wellesley dan diterajui pertama kalinya oleh Hakim Fred Arullnandam.

Seperti pergerakan lain ketika itu, State Youth Council juga bergerak dengan azam dan semangat ahli-ahlinya yang ghairah ke arah mendapatkan kemerdekaan. Strategi ketika itu adalah bagi merapatkan barisan antara semua ahli daripada setiap bangsa. Pemimpin belia sedar, kunci ke arah melepaskan rakyat daripada belenggu penjajahan ketika itu ialah dengan memantapkan perpaduan kaum. Hal ini amat jelas daripada petikan ucapan beberapa pemimpin belia negeri Pulau Pinang yang diterbitkan semula dalam buku ini.

Badan bukan kerajaan ini dalam sejarahnya telah menjalin kerjasama yang erat dengan kerajaan negeri dan pusat. Sejarah panjang Penang Youth Council bagi menyatukan belia peringkat negeri itu agak berliku juga sama sulitnya dengan usaha memupuk perpaduan kaum pelbagai peringkat. Setelah tercetusnya peristiwa sengketa kaum pada 13 Mei 1969, pertubuhan itu menerima kesan sehingga merencat kegiatannya pada awal dekad 70-an. Rani Ibrahim yang memimpin Penang Youth Council telah mengambil pelbagai langkah bagi menyusun semula barisan belia di Pulau Pinang.

Sungguhpun baru bangkit daripada kegawatan akibat tragedi permusuhan kaum 1969, Penang Youth Council dapat terus melaksanakan pelbagai kegiatan yang menautkan kembali belia pelbagai kaum di Pulau Pinang di bawah satu payung. Penang Youth Council bahkan masih mampu menjadi tuan rumah Asian Youth Seminar pada 1976.

Pada suatu ketika timbul masalah teknikal apabila wujud dua pertubuhan yang memimpin pergerakan belia di Pulau Pinang. Selain Penang Youth Council yang bernaung di bawah Malayan Youth Council dan berdaftar sebelum wujudnya Akta Pertubuhan pada 1966, terdapat pula Majlis Belia Malaysia Bahagian Penang yang berdaftar pada 1970. Dengan kemuafakatan yang ada, dikekalkan Majlis Belia Pulau Pinang yang diterima pendaftarannya pada 1979.

Perkembangan ini memudahkan lagi pembangunan belia di negeri tersebut. Nadi pergerakan belia Pulau Pinang pada ketika itu sangat tertumpu kepada Kompleks Pelbagai Guna Batu Uban yang baru dirasmikan oleh Datuk Ali Ahmad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

MBNPP telah melangkah jauh dengan melibatkan anggotanya dalam pelbagai program belia peringkat antarabangsa melalui kegiatan lawatan, seminar, pertukaran belia, dialog dan persembahan kebudayaan.

Bermula pada 1979, MBPP turut menghantar anggotanya dalam program Kapal Belia Asia Tenggara, Nippon Maru yang memberikan kefahaman tentang kehidupan masyarakat Asia. MBPP kemudian menjadi tuan rumah dan menyambut 210 belia Asia dalam kapal Nippon Maru yang berlabuh di pelabuhan Pulau Pinang pada 1983.

Banyak lawatan dari pelbagai pertubuhan belia antarabangsa telah diterima oleh MBPP ke negeri itu sebagai membalas lawatan ke luar negara yang dilakukan. Pada 2001 termeterai pula perjanjian persefahaman dengan The Adelaide Sister City Young Ambassadors sehingga melebarkan sayap perjuangan MBPP.

MBPP menjenamakan semula pertubuhan itu pada 2006 dengan memakai nama baru dan dikenali sebagai Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP). Struktur organisasi pertubuhan ini juga diubah bagi menyesuaikan pelbagai perubahan yang berlaku kebelakangan ini.

Buku ini turut merakamkan usaha MBNPP mewujudkan masyarakat belia yang mengamalkan gaya hidup berkualiti, mempunyai jati diri yang mantap, berpegang kepada nilai-nilai murni, bersemangat sukarela, patriotik dan berdikari dalam menghadapi pelbagai cabaran. MBNPP menjalankan usaha mengukuhkan sahsiah dan kekuatan diri belia melalui program kemahiran, peluang perniagaan dan keusahawanan. Selain itu MBNPP turut membantu kerabatnya dalam memantapkan kegiatan dan pengurusan belia peringkat akar umbi.

Dalam masa yang sama MBNPP berusaha membina kestabilan dan integrasi nasional dengan membina peribadi belia yang positif, dinamik dan produktif. MBNPP juga mengambil pelbagai langkah proaktif ke arah berusaha menjauhkan belia daripada anasir subversif, vandalisme dan kegiatan samseng. Usaha ini amat penting bagi menyediakan belia sebagai pelapis dalam barisan kepimpinan negara.

Melalui pelbagai program yang dijalankan, pertubuhan ini juga membantu belia meningkatkan jaringan dan interaksi dengan masyarakat belia antarabangsa. Ini tentunya menjadikan pemimpin belia lebih terbuka dan mengenali pelbagai masalah di luar batas yang lebih luas.

Banyak usaha yang telah dilakukan dalam memastikan kelompok muda di negara ini menjalani kehidupan yang positif. Kepada golongan belialah negara ini menyandarkan harapannya dan nasib serta masa depannya. Kepada belia kita pertaruhkan kejayaan dan kemajuan kita dalam dekad yang mendatang. Jika lemah belia kita pada masa kini, akan lemahlah negara kita pada masa akan datang.

Pertubuhan belia memegang peranan memastikan belia negara ini tidak dipengaruhi oleh unsur yang dapat melemahkan kekuatan benteng negara serta menjadi tonggak dalam menegakkan negara kita yang telah lebih 50 tahun merdeka.

MBNPP telah membuktikan peranan yang dimainkannya dalam tempoh 60 tahun lalu. Namun demikian, usaha yang telah dimainkan oleh MBNPP tidak boleh berhenti setakat itu sahaja. Kita tidak boleh tersenyum membaca rakaman sejarah kejayaan yang belum tentu akan berterusan dan berulang. Dekad yang bakal mendatang akan muncul dengan pelbagai cabaran yang tidak semuanya dapat dijangkakan.

Dunia yang global dan semakin mengecil akan menuntut belia kita lebih supaya bersedia menghadapinya dengan pelbagai persediaan. Setiap belia kita mesti ditanamkan ciri-ciri terpuji bagi menjadikan mereka modal insan yang paling berharga untuk diwarisi oleh negara yang kuat.

Leave a comment

Filed under ROOSFA HASHIM

Perginya pemimpin wanita berhaluan kiri

pejuang politik berhaluan kiri dan bekas Ketua Umum Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Shamsiah Fakeh meninggal dunia pukul 9 pagi semalam pada usia 84 tahun kerana sakit tua. Anak kedua daripada lapan orang adik-beradik itu lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ayahnya seorang peniaga, Sutan bin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai ‘Fakeh’ kerana dihormati atas keilmuan agamanya yang tinggi. Ibunya bernama Sa Asma binti Nonggok. Ibu dan ayahnya adalah perantau dari Padang, Sumatera yang berhijrah ke Tanah Melayu dan menetap di Kuala Pilah.

Shamsiah pernah mengajar di Madrasah al-Akhlak Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai pada 1945 dan bermulalah kegiatannya menyuntikkan semangat anti-Inggeris dan perjuangan kemerdekaan kepada masyarakat setempat.

Ketika usianya 24 tahun, beliau menerima undangan pucuk pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bagi menyertai parti itu dan menjadi Ketua Umum AWAS, iaitu sayap wanita PKMM menggantikan Aishah Ghani yang meletakkan jawatan.

AWAS kemudian dipimpin oleh Shamsiah untuk menyertai gabungan Pusat Tenaga Rakyat – All Malayan Council of Joint Action (PUTERA-AMCJA). Shamsiah juga membawa AWAS bekerjasama dengan Angkatan Pemuda Insaf (API), pimpinan Ahmad Boestamam bagi menaikkan semangat pemuda pemudi Tanah Melayu ke arah kemerdekaan.

Gandingan suami isteri pemimpin API-AWAS, Ahmad Boestamam-Shamsiah ini telah menjadi pemangkin dalam mempercepat kepanasan semangat nasionalisme dalam kalangan anak muda di Tanah Melayu.

Selepas berpisah dengan Boestamam, Shamsiah berkahwin pula dengan Wahi Annuar, pemimpin Ikatan Pemuda Tanah Air yang juga bekerja rapat dengan PKM.

Menentang

AWAS menganjurkan Hari Wanita Pekerja Antarabangsa di Jenderam, Selangor pada 8 Mac 1947. Shamsiah juga memimpin ahli-ahli AWAS turut serta dalam rapat umum dan perarakan anjuran Pembela Tanah Air (PETA) di Temerloh pada penghujung Mac 1948 bagi menentang penjajahan Inggeris. Tumpuan beliau juga diberikan bagi mengukuhkan AWAS di Pahang khususnya di Lubuk Kawah, Temerloh sehingga berjaya mengumpulkan 65,000 ahli dalam 67 cawangan.

Selepas Inggeris mengisytiharkan darurat, Shamsiah diburu manakala PKM, PKMM dan AWAS diharamkan. Semua kegiatan radikal dan komunisme diharamkan. Shamsiah dan teman-temannya berundur ke dalam hutan di Temerloh dan menyertai Rejimen Ke-10, pasukan gerila Melayu pimpinan Abdullah C.D. yang juga bekas pimpinan pusat PKMM dan anggota Jawatankuasa Pusat, Parti Komunis Malaya. Dengan tekanan yang diterima, Rejimen Ke-10 berundur lebih jauh ke sempadan Malaysia – Thailand pada 1953.

Shamsiah kemudian dihantar oleh PKM ke China sebelum ditukarkan bersama suaminya Ibrahim Mohamad ke Jakarta dan berkhidmat dalam Liga Pembebasan Nasional Malaya (LPNM).

Di Jakarta mereka berdua berkhidmat bersama Abdullah Sudin dari Singapura. Dengan tercetusnya Gestapu (30 September 1965), Sukarno digulingkan, Shamsiah dan teman-temannya dalam LPNM ditangkap dan dibuang negeri ke China. Bagi meneruskan hidupnya, Shamsiah bekerja di kilang besi.

Shamsiah tidak lagi aktif berjuang bersama PKM sejak 1968. PKM menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989 di Haadyai dan ketika itu Shamsiah dan keluarganya masih berada di China.

Beliau kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994. Apabila kembali ke tanah air, Shamsiah menulis kisah hidupnya dan menerbitkannya dengan judul Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10.

Shamsiah dan AWAS akan terus dicatat dalam sejarah sebagai pejuang dan pertubuhan berhaluan kiri.

Leave a comment

Filed under ROOSFA HASHIM

Mencari jurnal ilmiah kita di Internet

SALAH satu jasa Internet yang agak besar setakat ini kepada dunia penerbitan ialah pertumbuhan terlalu banyak jurnal elektronik.

Termasuk dalam kumpulan jurnal elektronik ialah kesemua terbitan bersiri. Akhbar, majalah, buletin dan tidak ketinggalan jurnal ilmiah.

Penerbitan elektronik yang awal dalam bentuk disket dan CD-ROM tidak begitu meggigit antara lain kerana sifatnya yang tidak online seperti yang dapat ditawarkan oleh Internet. The Online Journal of Current Clincal Trial diiktiraf sebagai jurnal online pertama di dunia, diterbitkan oleh American Association for the Advancement of Science.

Pada tahun 1991 cuma ada 110 buah jurnal elektronik. Angka ini melonjak panas menjadi 133 pada tahun 1992, 240 (1993), 443 (1994) 675 (1995) dam 1689 (1996). Angka ini adalah yang dirakamkan oleh ARL Directory. Ramai penyelidik mencatatkan angka jurnal elektronik yang lebih besar.

Di Malaysia, penerbitan elektronik juga tumbuh sejajar pertumbuhan di luar negara serta atas usaha kerajaan yang amat serius dengan IT. Hampir kesemua akhbar arus perdana mewujudkan versi elektronik yang online di Internet. Demikian juga dengan akhbar-akhbar milik pembangkang seperti Harakah dan Roket. Majalah mingguan dan bulanan juga tidak ketinggalan memindahkan penerbitan ke Internet. Kita juga dapat membaca bermacam-macam buletin terbitan agensi awam dan swasta negara ini di Internet.

Kalau rajin, kita juga dapat membaca majalah yang diusahakan oleh kanak-kanak sekolah di Internet.

Yang sukar dicari di Internet ialah jurnal ilmiah kita. Namakanlah apa saja jurnal ilmiah sama ada yang sudah lama terbit ataupun yang baru, dan carilah versi elektroniknya di Internet. Gunakanlah apa juga enjin pencarian daripada altavista ke gogle, ke Hotbot ke Axite atau apa saja. Kalau ada pun kita cuma akan menjumpai beberapa nama lain yang boleh dihitung dengan jari sepuluh selain daripada Malaysian Journal of Computer Science dan Malayan Law Journal. Benarlah Internet suatu gejala baru dalam era IT. Akan tetapi, Internet juga medium baru bagi komunikasi ilmiah. Penerbitan di Internet jauh lebih murah dan pantas jika dibandingkan penerbitan konvensional kerana untuk muncul di Internet tidak perlu filem dan pisah warna, cropping dan masking, tidak perlu mesin cetak, dakwat dan kertas, tiada mesin pemotong atau penjilid tiada pembugkusan dan penghantaran, tiada kelewatan, cetak terbalik dan sebagainya yang dihadapi dalam penerbitan konvensional.

1 Comment

Filed under ROOSFA HASHIM

Dunia buku tuntut perubahan

TAHUN 2006 mencatatkan banyak juga kemajuan dan perkembangan dalam industri perbukuan di negara ini. Sedikit sebanyak pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun lalu mencerminkan sikap dan amalan membaca di kalangan rakyat negara ini yang semakin meningkat. Antara kegiatan yang menonjol termasuklah pesta buku, wacana buku, kempen membaca dan penerbitan buku baru terutamanya dalam genre memoir dan biografi.

Walaupun banyak teguran dan kritikan dilemparkan terhadap penyelenggaraan Pesta Buku Kuala Lumpur 2006 yang dilihat tidak bermaya dan masih di takuk lama, namun penganjurnya masih mampu meneruskan pesta yang menghimpunkan peminat buku tanah air.

Setahun sekali penggiat buku tempatan berkumpul di sini – pustakawan datang dari seluruh pelosok negeri membuat tempahan buku untuk perpustakaan masing- masing, editor dan penerbit mengintai pengarang berpotensi di sini, selain menguar- uarkan buku baru melalui program diskusi dan pelancaran buku. Ulat buku juga tidak ketinggalan mencari-cari judul buku yang diminati.

Semasa dimulakan pada 1982 pesta ini lebih bertumpu di Kuala Lumpur sahaja. Pesta buku yang digerakkan oleh ‘tauke buku’ ketika itu dirasakan kurang mendatangkan kesan. Oleh hal yang demikian, Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) telah mencari jalan mengadakan pesta buku yang terancang dan tersusun di seluruh negeri dan daerah. Selepas itu, pesta buku anjuran Majlis Kemajuan Buku Malaysia (MBKM) dan badan-badan dalam industri buku telah dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia dari semua negeri dan kini telah berusia suku abad. Wajarlah pesta ini mencerminkan kematangan pengurusannya bagi memenuhi matlamat Dasar Buku Negara.

Selain MBKM perlu membuat perubahan dengan mengemukakan program yang lebih sesuai dengan cita rasa pembaca pada hari ini, syarikat-syarikat yang membuat pameran perlu juga menambah lebih banyak judul terutama bagi bidang yang berkaitan dengan teknologi komputer, pengurusan, sains dan teknologi serta perdagangan dan bidang profesional yang lain kerana judul-judul ini kini mendapat tempat di kalangan pembaca.

Bergantung kepada judul asing bermakna kita mengalirkan wang ke luar. Penerbit juga mesti berusaha meningkatkan kualiti pameran ke tahap yang lebih profesional. Bahan seperti alat tulis dan buku-buku lama tidak seharusnya dilonggok di pesta bertaraf antarabangsa. Mereka perlu mempromosi buku-buku baru dan terkini, termasuk best seller. Selain pameran dan jualan, MBKM juga perlu memberi pengiktirafan kepada penerbit, editor dan pengarang sama ada dalam bentuk anugerah atau hadiah sebagai insentif kepada mereka. Sifat ‘antarabangsa’ pada pesta ini perlulah ditonjolkan lagi dengan penyertaan penerbit buku asing dalam menjual beli hak cipta intelektual pengarang tempatan.

Kempen membaca juga satu lagi program yang sering diadakan tetapi kesannya dirasakan semakin hari semakin kurang terutama bagi masyarakat di luar Kuala Lumpur. Kempen yang digerakkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia ini nampaknya memerlukan nafas dan nyawa baru demi menjamin hasrat dan pelaburan kerajaan mencapai matlamatnya.

Tidak disangkal bahawa pelancaran kempen membaca 2006 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memang amat baik namun jumlah pelajar dan masyarakat yang mengambil bahagian dan mendapat faedah langsung adalah terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan masyarakat yang patut diajak sama-sama membaca. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di bawah pimpinan ketua pengarahnya yang baru, Siti Zakiah Aman yang kelihatan lebih muda, bersemangat, tegas dan bertenaga serta para pegawai kanan beliau tentu dapat merancang sesuatu yang lebih bermakna, berkesan dan bermanfaat pada masa akan datang.

Siti Zakiah perlulah berani membawa perubahan dengan turut melibatkan penggiat buku di luar PNM dalam setiap program yang diadakan. Apa yang dilakukan sekarang memanglah baik tetapi masyarakat kini lebih sofistikated, pantas, dan inginkan semuanya yang baru.

Kebaharuan inilah yang gagal dibawa oleh PNM dalam menggerakkan kempen dan gerakan membaca. Dasar Buku Negara yang diluluskan oleh Kabinet pada tahun 1985 digubal untuk memastikan pendekatan yang padu bagi perkembangan buku, untuk mengatasi rintangan dalam usaha mewujudkan serta mengembangkan industri buku yang sihat dan untuk mengatasi pelaksanaan yang tidak teratur yang mungkin menghalang perkembangan buku.

Matlamat Dasar Buku Negara yang utama ialah untuk memastikan supaya buku dalam bahasa Melayu dapat memainkan peranan yang berkesan sebagai alat pembangunan fikiran, sosial dan kebudayaan, sesuai dengan keperluan dan cita-cita negara. Dengan jumlah terbitan dalam bahasa Melayu yang bertambah setiap tahun, dapatlah dikatakan bahawa dasar ini sedikit sebanyak telah berjaya merangsang penerbitan buku dalam bahasa Melayu.

Dengan kadar pembacaan buku yang masih rendah, matlamat untuk memastikan supaya buku dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat di negara ini masih belum tercapai sepenuhnya. Pertambahan judul bukan bermakna semakin ramai rakyat yang membaca.

Untuk memastikan supaya rakyat di negara ini mempunyai minat membaca yang tinggi, masih banyak yang perlu dilakukan. Kempen membaca yang lebih giat dan berkesan mesti dilakukan.

Kerja menerbitkan buku adalah tugas profesional. Sampai kini, kita belum mempunyai sebuah pun institusi latihan bagi melatih pengarang dan editor dalam kerja mengarang dan menyunting. Berbeza keadaannya bagi bidang seni yang mempunyai Akademi Seni Kebangsaan (ASK), Balai Seni Lukis Negara dan Istana Budaya ataupun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Untuk memastikan supaya semua buku yang diterbitkan di negara ini mencapai mutu yang baik dari segi isi dan juga dari segi bentuk fizikalnya perlulah diwujudkan institut latihan sebagaimana yang terdapat di India ataupun di negara Barat yang menganjurkan sesi bengkel dan kursus profesional jangka pendek.

MBKM sebagai sebuah badan profesional dan penasihat buku peringkat kebangsaan telah diamanahkan untuk melaksanakan dasar dan saranan yang terkandung dalam Dasar Buku Negara boleh merintis jalan ke arah penubuhan sebuah institut perbukuan di negara ini.

MBKM juga berperanan memajukan penerbitan buku dan menggalakkan perusahaan buku di negara ini. Namun usaha ini nampaknya semakin kurang berkesan.

Kalau dulu MBKM ada menganjurkan Hadiah Buku Kebangsaan, kini tidak ada lagi hadiah buku yang berprestij untuk pengarang, penerbit dan editor di negara ini. Program penggalakan perlulah dihidupkan kembali demi meningkatkan profesionalisme di kalangan petugas buku.

Penerbitan buku terjemahan terus memperlihatkan zaman gelapnya khususnya bagi penerbitan peringkat tinggi. Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) masih meneruskan dasarnya menerbitkan buku yang membuat untung. Menterjemah sebagai suatu kegiatan ilmu dan mengembangkan budaya bukan lagi menjadi keutamaan.

Karya terjemahan yang dapat dianggap besar dan menonjol terbit 2006 ialah Memoirs of a Geisha karya Arthur Golden yang telah diterjemahkan oleh Abd. Latiff Bidin dan diberi judul Kenang-Kenangan Seorang Geisha. Latiff tentu sahaja berdepan dengan cabaran ketika menterjemahkan novel yang kaya dengan nilai sastera seperti penggunaan bahasa yang berseni dan berirama, disulami ungkapan melankolik dan bombastik.

Tambahan pula, beliau menterjemah dalam tempoh yang amat singkat, 45 hari, bagi karya setebal lebih 700 halaman ini.

Leave a comment

Filed under ROOSFA HASHIM

Memburu buku terpakai

Buku lama, buku terpakai, buku second hand mempunyai nilai yang berbeza- beza kepada kita semua. Kepada kebanyakan orang, buku lama cuma menghimpun habuk dan debu, membazir ruang dan menyemakkan mata memandang dan patut dihumbankan jauh-jauh.

Kalau dijual dan ditimbang kati pun harganya tidak seberapa. Namun, kepada segelintir orang lain, buku-buku lusuh ini ada harganya.

Kalau ke Pulau Pinang, peminat buku second hand tentu kenal akan pasar Chowrasta tidak jauh dari Penang Road. Kebanyakan orang singgah untuk membeli buah pala, jeruk dan asam serta belacan buatan Pulau Aman di situ. Tak ramai yang mengetahui di bahagian atas bangunan tersebut menempatkan banyak kedai menjual buku terpakai.

Saya sendiri mengenali tempat ini daripada arwah Syed Hussein Alatas yang sering membeli buku terpakai di situ. Di sini kita dapat membeli buku baru dan lama, murah dan mahal, semuanya dengan tawar-menawar. Memang saya dan teman- teman peminat buku sering mendapat buku yang baik-baik di sini.

Di Kuala Lumpur atau Petaling Jaya, ada banyak kedai buku terpakai milik peniaga India Muslim atau kita boleh juga ke kedai buku Payless di Ampang Point atau di Ampang Park.

Kalau ke Jakarta, memang ada beberapa tempat yang agak baik dikunjungi oleh pencinta buku misalnya Pasar Festival di Kuningan. Di sini buku lama, kadangkala disebut buku vintage atau buku perawan tua. Di sini kita boleh mendapat buku sehingga lebih murah daripada separuh harga asal. Memang ini adalah syurga bagi penggemar buku harga murah.

Sudin, salah seorang daripada sekian banyak penjual buku terpakai di Jakarta bertempat di Taman Mini Indonesia Indah, mampu mengubah buku terpakai menjadi buku berharga. Buku terpakai diperolehnya daripada pengumpul barang terpakai yang berkeliling ke kampung-kampung dan membeli kertas atau buku secara timbangan berat.

Kemudian, pengumpul barangan terpakai yang berkeliling kampung itu menjual kembali barang tersebut secara timbangan berat. Sudin, membeli buku-buku tersebut dengan harga murah. “Kadang-kadang, buku ini kami beli Rp5 ribu ( RM2), bisa laku dijual kembali Rp500 ribu (RM200), karena orang umumnya enggak tahu nilai buku itu,” ungkap Sudin.

Sudin bagaimanapun tidak hanya bersandar kepada para pengumpul barang terpakai. Dia dan kawan-kawannya kerap juga berburu buku dari pejabat-pejabat kerajaan yang ingin menjual koleksi buku- buku terpakai mereka yang sudah tidak diperlukan lagi. Dari sinilah Sudin memperoleh buku-buku langka dan kuno tentang Indonesia.

Kalau ke Jakarta, saya memang tidak pernah lepas mengunjungi Jalan Kwitang Raya. Sepanjang kaki lima jalan di sini dipenuhi penjual buku terpakai. Di sini juga terdapat banyak kedai buku yang besar termasuklah Gunung Agung. Buku-buku yang baik juga di sini dapat dibeli dengan harga lambak Rp10 ribu dan Rp5 ribu malah ada yang sampai Rp2 ribu.

Perbualan dengan Khairul, salah seorang penjual buku di Kwitang Raya, lebih menarik lagi. Beliau meneruskan perniagaan yang dimulakan oleh ayahnya sejak tahun 1970-an. Koleksi Khairul lebih tertumpu pada buku pengajian tinggi yang digunakan di universiti. Memang tempat ini terkenal di kalangan peminat buku dari Malaysia pun.

Menjual buku terpakai, bagi Khairul lebih menguntungkan berbanding menjual buku baru. Jika penjualan sehari mencecah Rp200 ribu (RM 80), beliau sudah untung Rp50 ribu (RM 20). Jumlah tersebut lebih besar dibandingkan dengan keuntungan yang diraihnya kalau menjual buku baru.

Keuntungan menjual buku terpakai bergantung pada permainan penjualnya. Pembeli tidak mengetahui modal penjual buku terpakai, tidak seperti menjual buku baru, pembeli dapat mengagak peratusan keuntungan penjual dan tidak ada keperluan tawar-menawar, apa lagi untuk melambungkan harga.

Kebanyakan pelanggan yang singgah di kedainya adalah mahasiswa yang memang mencari buku terpakai kerana buku yang dibeli cuma digunakan untuk satu semester sahaja.

Pasar buku lambak di Kwitang Raya, tidak hanya menjual buku terpakai. Di sini kita dapat mencari buku lama yang tidak diulang cetak dan sukar ditemui di tempat lain, di sini juga ada buku baru termasuk buku baru yang dicetak rompak dan dijual dengan harga yang murah. Kamus Besar Indonesia misalnya dapat dibeli dengan harga semurah RM30 sungguhpun harga sebenarnya sekitar RM12. Demikian juga Memoir B.J. Habibie dapat dibeli dengan separuh harga kerana dicetak dengan kertas yang murah.

Kalau kita rajin mencari, di sini kita dapat temui karya Kahar Muzakar seperti Petualangannya terbitan tahun 1964, atau buku Soekarno yang berjudul Tujuh Bahan Pokok Indoktrinasi terbitan pertama, dan jangan terkejut jika mendapatkan Sarinah atau Di Bawah Bendera Revolusi.

Seperti dalam perniagaan yang lain, di sini di jual apa saja, buku baru dan buku lama, yang asli dan cetak rompak, bahkan buku yang terlarang sebab yang terlarang itulah menjadi buruan pembaca dan pembeli. Untuk itu kita mesti bertanya dan akan dikeluarkanlah dari bahagian yang tersorok.

Dari segi layanan juga tidak kurang baiknya. Sebutkan saja judulnya, mereka akan lincah mencarinya dan kalau tidak ada dalam simpanan, mereka akan berkejar mencari kawan-kawan bersebelahan yang ada menyimpannya.

Demikianlah, peminat buku terpakai memang gemar suasana kaki lima yang hiruk- pikuk ini, namun pasti puas kerana dapat membeli buku yang dicari dengan harga paling murah.

Keadaan ini berbeza dengan Pasar Chowrasta, Pulau Pinang yang tertutup di tingkat atas bangunan tersebut. Namun kedua-dua tempat ini tetap ada keistimewaannya kepada penggemar buku Malaysia.

Leave a comment

Filed under ROOSFA HASHIM